Nam Ron Belum Cukup Ilmu Dalam Dunia Teater

Diterbitkan: Selasa, 13 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nam Ron.
Nam Ron.

SHAH ALAM: Pengarah teater dan pelakon, Nam Ron atau nama sebenarnya Shamili Abdan mengakui cuba menyesuaikan dirinya sebagai seorang pelakon teater.

Nam Ron berkata, walaupun dia telah lama melibatkan diri dalam dunia teater sebagai pengarah termasuk melakukan kerja-kerja produksi, tetapi masih banyak perkara perlu dipelajarinya sebagai penggiat teater.

"Sebelum ini saya banyak terlibat dengan kerja-kerja di sebalik tabir sahaja dan apabila berpeluang berlakon, rupa-rupanya ia bukan mudah dan memerlukan banyak tumpuan dalam menjayakan sesuatu watak.

"Bagaimanapun saya bertuah kerana dapat mempelajari satu lagi cabang dunia teater dalam lakonan kerana ia nyata berbeza dengan drama atau filem," ujarnya ketika ditemui mStar Online di sini.

Dalam pada itu, Nam Ron memberitahu teater “Asrar II” adalah karya ketiga lakonannya dengan memegang watak utama.

Menurut Nam Ron, peranannya dalam pementasan tersebut bukan mudah kerana ia memerlukan pengisian rohani yang tinggi kerana ia mengutarakan mengenai persoalan rukun iman dalam jalan ceritanya.

"Berlakon di pentas teater memerlukan penumpuan yang cukup tinggi kerana ia bukan seperti drama atau filem yang boleh diulang-ulang jika berlaku kesilapan.

"Tambahan pula jika sesuatu subjek yang cuba diangkat itu adalah isu berat," ujarnya.

Sementara itu, Nam Ron berkata, dia gembira apabila teater “Asrar II” turut dijayakan oleh kenalan rapatnya seperti Pekin Ibrahim, Amerul Affendi, Eliza mustafa, Nadia Zainal dan Kirin Mohamed.

"Tujuan teater ini dihasilkan bukan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat.

"Justeru apabila ia turut dijayakan oleh penggiat teater yang juga sahabat saya, ia bertambah lebih manis,' ujarnya.

Teater “Asrar II” yang dipentaskan sejak Jumaat lepas mengupas mengenai isu kerosakan akidah terutamanya di kalangan belia yang berpunca daripada kurangnya kesedaran tentang iman.

Teater tersebut masih berlangsung sehingga Selasa ini di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di sini bermula pukul 8.30 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan