Ean Teruja Bekerja Dalam Tekanan

Diterbitkan: Isnin, 12 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKAN dia tidak kenal erti penat atau lelah tetapi personalitinya yang penuh dinamik dan hiperaktif itu adalah suntikan adrenalin buat lelaki bernama Ean ini untuk kekal bertenaga.

Buktinya, menerusi kunjungan singkat penyampai radio hitz.fm ini ke Menara Star, baru-baru ini, kelincahan Ean cukup mewarnai sesi fotografi dan pertemuan kami.

Sebagai pemula bicara kami, pemilik nama penuh Tengku Mohd Ean Nasrun ini mengakui pengalaman dan kerjaya dalam bidang penyiaran radio sejak enam tahun lalu adalah antara perkara terbaik dalam hidupnya.

Kepuasan yang lahir secara menyeluruh itu, kata Ean bukan saja terzahir menerusi kerja dan pengiktirafan terhadap stesen radio berbahasa Inggeris nombor satu itu, malah lebih manis lagi apabila ia mendapat restu dan sokongan keluarga.

“Saya cukup bertuah dengan fasa kehidupan yang saya lalui. Mungkin jika ditanya apakah perkara terbaik yang saya miliki, ia adalah kebahagiaan dan keindahan dalam hidup sejak kecil sehinggalah bergelar penyampai radio nombor satu.

“Hidup saya bagai lengkap dengan kasih sayang keluarga dan memiliki apa sahaja yang diingini, malah saya melakukan perkara yang begitu saya cintai iaitu penyampaian radio.

“Apa yang lebih manis lagi, apabila apa yang saya lakukan itu mendapat restu dan sokongan padu keluarga dan kasih sayang para pendengar,” katanya.

Terus rancak berkongsi ceritanya, anak lelaki tunggal dalam keluarga ini berkata pada tahap ini perasaan cintanya pada kerjaya di radio semakin mendalam dan dia hanya mahu melakukan tugasan itu selama yang boleh.

“Saya sedar menjadi penyampai radio khususnya bagi segmen pagi yang didengar oleh para pendengar ketika mereka hendak keluar bekerja penuh dengan cabarannya.

“Namun, semakin saya mendalami bidang ini, hati dan fokus saya semakin menebal sehingga saya hanya mahu tumpukan pada bidang ini sahaja pada waktu ini,” katanya.

Bertunjangkan alasan dan keterujaan itu jugalah, Ean berkata dia sanggup mengetepikan bidang pengacaraan di televisyen buat masa ini.

“Selepas tiga tahun mengendalikan segmen pagi, pelbagai cabaran yang saya hadapi semakin mengukuhkan tumpuan dan perasaan sayang pada bidang radio.

“Sebab itu, saya selesa untuk mengetepikan pengacaraan di televisyen kerana ingin memberikan 100 peratus fokus pada penyampaian radio,” luahnya.

Bagaimanapun, Ean mengakui sebagai manusia normal kelincahan yang diperagakan seawal pukul 6 pagi pada setiap hari bertugas itu tetap punya batasnya. Katanya, selepas seharian bekerja dengan penuh tenaga dan tumpuan, tubuh sasanya itu akan beransur penat menjelang petang.

“Sekalipun saya sentiasa kelihatan lincah dan aktif, ia tetap punya batasnya kerana saya juga manusia biasa.

“Selepas seharian bekerja dari seawal 6 pagi, momentum yang diberikan dalam tugas saya akan berkurangan pada sebelah petang, sekaligus memberi petanda bahawa saya memerlukan rehat sebelum menyambung semula tugasan pada keesokan hari,” terangnya.

Teruja bekerja di bawah tekanan

Kami anjakkan pula perbualan pada pengalaman bekerja di konti radio berbahasa Inggeris yang kekal nombor satu selepas 11 tahun itu, Ean berkata berada di kedudukan pertama tidak semudah yang disangkakan.

Tambahnya, apa yang lebih memberikan tekanan adalah untuk mengekalkan kedudukan dan momentum tersebut, khususnya bagi segmen keramat kendaliannya, Hitz.fm Morning Crew with JJ & Ean.

“Bergelar stesen radio nombor satu adalah satu perkara tetapi untuk mengekalkan kedudukan itu adalah satu tanggungjawab besar buat kami di hitz.fm.

“Mujurlah, kami dilengkapi oleh pasukan individu yang berpengalaman dalam bidang penyiaran radio seperti Jake Abdullah dan Raqeem Brian yang sentiasa menitikberatkan soal kandungan program dan gaya penyampaian agar seiring dengan keadaan dan selera semasa,” katanya.

Ean berkata, atas dasar itu jugalah, dia sudah terbiasa dengan persekitaran kerja di bawah tekanan yang tinggi daripada pihak pengurusan radio tersebut.

Malah, dia turut mengakui berasa puas dan teruja dengan tekanan berterusan yang dihadapinya bagi mengekalkan prestasi dan momentum di radio.

“Tugasan di konti radio bukan semudah yang disangka terutama bagi penyampai untuk segmen pagi seperti saya. Selain pengorbanan waktu yang memerlukan saya bangun seawal 4.30 pagi dan tidur awal, saya juga perlu sentiasa kreatif ketika bertugas.

“Mengacara di televisyen dan menjadi penyampai radio adalah berbeza. Jika di televisyen, tumpuan penonton boleh dialihkan pada visual tetapi untuk menarik perhatian pendengar, seseorang penyampai itu perlu kreatif, lincah, bijak dan teliti pada setiap saat,” akuinya.

Obses sukan tinju

Sisi hiperaktif yang dimiliki oleh Ean sebenarnya punya rahsia di sebaliknya. Katanya, sikap obses terhadap sukan tinju dan seni mempertahankan diri adalah kunci asas yang membuatkan dirinya bertenaga dan segar.

“Sejak remaja lagi saya memang obses pada aktiviti-aktiviti fizikal yang lasak seperti sukan tinju dan seni mempertahankan diri.

“Kegilaan saya terhadap aktiviti fizikal yang lasak ini bermula sejak saya menonton filem Rocky dan pertandingan Ultimate Fighting Champisonship (UFC) . Aktiviti-aktiviti fizikal ini menjadikan diri saya semakin sihat dan aktif,” katanya.

Kongsi Ean, sikap obses terhadap aktiviti fizikal itu juga pernah membuatkan dirinya terlalu cenderung melakukan rutin senaman di gimnasium untuk membina otot secara mendadak.

“Bayangkan, sikap obses pada aktiviti fizikal ini pernah membuatkan diri saya ketagih melakukan senaman di gimnasium untuk membina otot secara keterlaluan sebelum ini.

“Namun, kini selepas melihat perubahan pada fizikal ini, saya berpuas hati dan terus aktif melakukan pelbagai bentuk seni mempertahankan diri seperti silat, tinju, jujitsu secara konsisten,” katanya.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan