Syafinaz: Koir Kebangsaan Malaysia Bersedia Ke Luar Negara

Diterbitkan: Isnin, 28 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Antara peserta kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia yang membuat persembahan di Konsert Wrong Notes di Auditorium DBKL, malam Sabtu. - Foto UTUSAN
Antara peserta kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia yang membuat persembahan di Konsert Wrong Notes di Auditorium DBKL, malam Sabtu. - Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syafinaz Selamat mengakui kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia sudah bersedia untuk membuat persembahan di luar negara.

Menurutnya lagi, melalui pengalaman kumpulan ini membuat banyak persembahan termasuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 20 tahun ditubuhkan, Syafinaz yakin dengan kemampuan anak-anak didiknya itu.

“Saya sudah lama bersama-sama dengan Koir Kebangsaan Malaysia dan alhamdulillah dalam setiap persembahan yang diberikan pastinya anak-anak ini tidak mengecewakan saya.

“Jika diizinkan Tuhan, saya nak bawa mereka ke luar negeri dan semuanya bergantung kepada pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan penaja. Saya rasa kumpulan ini sudah bersedia,” katanya dalam satu temubual selepas Konsert No Wrong Notes di Auditorium Dewan Bandaraya di sini (DBKL) berakhir, malam Sabtu.

Bagaimanapun, setakat ini Syafinaz masih tertumpu kepada objektif JKKN untuk memperkenalkan kumpulan ini di negara ini terlebih dahulu.

Menyentuh tentang persembahan Konsert No Wrong Notes, secara keseluruhannya persembahan koir yang terdiri daripada gabungan ahli Koir Kebangsaan dan Koir Remaja Kebangsaan membabitkan 55 orang itu memberikan persembahan yang memukau tanpa cacat cela.

Sebanyak 18 buah lagu yang dipilih dan digubah kepada elemen jazz, latin dan raggae iaitu Gema Rembulan, Asmara, Sambaria, Tergeleng-geleng, Dan Sebenarnya, Dayung Sampan, The Pink Panther, Nature Boy, Kiss From A Rose, Bim Bom, I’m Gonna Live Till I Die, Waltzing Matilda, Someone To Watch Over Me, La Cucaracha, Besame Mucho, Fugue In C Minor, The Quiero dan Senyum.

Konsert berlangsung selama dua hari bermula 25 November hingga 26 November itu menampilkan Syafinaz selaku pengarah vokal dan pengarah persembahan ini terbahagi kepada tiga sesi dengan muzik iringan menggunakan ‘live band’ yang diketuai oleh Raja Mohd Sham Raja Saari.

Ia turut dipimpin oleh Mohd Amri Mohd Zin selaku konduktor dan pengarah koir Tunku Marina Tunku Datuk Zubir.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan mereka walaupun terdapat kesilapan kecil kerana koir susah untuk seimbangkan bunyi.

“Mungkin kerana kami kurang mempunyai masa dengan pemuzik disebabkan kekangan masa dan bajet.

“Saya juga berharap penonton memahami suasana konsert sebegini,” kata Syafinaz lagi.

Konsert ini turut menampilkan artis undangan seperti Salamiah Hassan, Nabil (Koir Permata Seni) dan kumpulan Putera yang pernah mendapat tempat kedua di Bakat TV RTM dan turut mendapat didikan vokal dari Koir Kebangsaan Malaysia.

Turut menghadiri konsert ini adalah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan