Koleksi Pembakar Semangat Ahmad Idham

Diterbitkan: Isnin, 28 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA sebelum ini ruangan Zoom! sering diserikan dengan wajah-wajah selebriti baru, minggu ini, OopStarz! memaparkan pula barangan sentimental yang disimpan oleh pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri, 40.

Pada mulanya, Idham yang di temui di rumahnya di Bukit Jalil hanya mengeluarkan lima jenis barangan dan berkata dia bukanlah seorang yang sentimental untuk menyimpan sesuatu sebagai kenangan.

Sengaja memaksanya untuk mencari lagi barangan yang dirasakan bernilai di rumah, satu persatu Idham menunjukkan simpanannya yang pada anggapan OopStarz! memang menarik untuk dipaparkan kepada pembaca.

“Eh, tak sangka pula saya mempunyai banyak simpanan koleksi ini. Kira, jiwa saya agak sentimental juga kan,” selorohnya.

Jangan terkejut, pengarah filem Hantu Bonceng ini juga masih lagi menyimpan dua barangan hantaran perkahwinannya sejak 12 tahun lalu.

Mari kita Zoom!!! apa cerita di sebalik setiap barang-barang bernilai tersebut.

Trofi

*Artis Baru Popular ASK Bintang Popular (1998)

*Pengarah Terbaik cerekarama Anugerah Skrin (2000)

*Anugerah Cipta Pengarah Harapan ASK (2000)

- Tiga trofi ini merupakan pembakar semangat pengarah ini. Apabila diberi pengiktirafan tersebut, Idham mula fokus ke bidang pengarahan berbanding lakonan.

Baju kemeja syarikat

Kata Idham, sebagai menaikkan semangat mengendalikan syarikat produksi yang baru ditubuhkan pada tahun 2000, Excellent Pictures, dia terus mereka kemeja khas syarikat khusus untuk pemakaian ke acara-acara formal.

Kasut dan Jam Tangan

Kedua-dua barang ini antara yang paling disayangi dan dijaga dengan elok. Ia merupakan hadiah hantaran perkahwinannya 12 tahun lalu. Kata Idham, dia jarang memakainya supaya ia tampak baru sentiasa.

Kemeja-T

Memandangkan filem Anaknya Sazali merupakan pembabitannya yang pertama dalam lakonan, Idham menyimpan kemeja-T filem itu. “Banyak kenangan sebenarnya yang ada pada kemeja-T ini. Ya, Anaknya Sazali gagal di panggung, tetapi telah membuka mata saya tentang industri perfileman kita. Baru saya tahu, tak semestinya buat filem boleh laku. Ketika itu, bila membuat promosi masuk ke panggung untuk berhibur dengan peminat, hanya dua orang penonton sahaja yang ada. Filem ini antara pembakar semangat saya sebagai seorang anak seni,” katanya.

Foto

Inilah satu-satunya foto Idham bersama kamera filem yang disimpan. Ketika ini, Idham mengarah filem pertamanya, Mr.Cinderella. Pada masa sama, Idham turut dikecam kononnya, dia tidak layak menjadi pengarah kerana faktor usianya yang masih muda.

Foto album zaman kanak-kanak

Album foto ini merupakan barangan yang sangat bernilai buatnya kerana bapa Idham telah menyimpan setiap gambar-gambarnya dari kecil sehinggalah ke zaman pra sekolah dengan meletakkan tahun gambar yang diambil. Untuk menjaganya dengan lebih elok, Idham tidak kerap membelek album tersebut.

Bingkai gambar foto anak

Kata Idham, foto anak keempatnya, Ahmad Khalif, diambil setiap bulan bermula dari lahir untuk melihat perkembangan anak.

Keris

“Hadiah ini diterima daripada keluarga saya pada perjumpaan salasilah keluarga di Terengganu. Ia diberi sebagai tanda pengiktirafan dan pencapaian yang telah saya lakukan. Konsep pengiktirafan ini dibuat setiap tahun dan akan diberikan kepada mana-mana ahli keluarga yang berjaya dalam kerjaya sebagai tanda pemberi semangat untuk generasi muda,” kata Idham.

Buku cek

Ia merupakan buku cek pertama yang digunakan Idham sejak menubuhkan Excellent. Katanya, bukan mudah untuk mendapatkan buku cek jika tidak mempunyai sejumlah amaun wang yang ditetapkan dalam akaun bank.

Foto NORAFIFI EHSAN

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan