Pengorbanan Najwa Mahiaddin

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERBEKALKAN bakat yang cukup besar dan istimewa, penyanyi yang memperjuangkan pengaruh muzik Neo-Soul dan Jazz, Najwa Mahiaddin (gambar) dilihat mampu pergi jauh dalam industri muzik tempatan.

Malah dengan memiliki vokal yang cukup mantap, Najwa layak diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dan harus diakui, nama dan bakat Najwa menjadi tumpuan pada tahun ini lebih-lebih lagi selepas pelancaran album sulungnya, Innocent Soul, Mac lalu.

Namun, gadis berusia 25 tahun ini sudah menyusun perjalanan seninya dimana dia tidak mengambil peluang populariti itu. Dia mahu mengumpulkan ilmu muzik dahulu di Berklee College of Music Boston, Amerika Syarikat (AS) sebelum tampil sepenuh masa dalam industri.

“Saya rasa jika berbakat tetapi tiada ilmu, hasil kerja yang dilakukan tidak sempurna. Biarlah kita rasa susah dahulu sebelum memperoleh hasil yang diinginkan.

“Ya, harus diakui, sejak mula belajar, banyak tawaran persembahan terpaksa saya lupakan walaupun hati berasa kurang senang.

“Saya anggap, ia sebuah pengorbanan agar landasan kerjaya yang saya pilih itu kukuh. Lagipun, kalau nak berulang-alik AS dan Malaysia selalu pun susah juga kerana saya ada komitmen belajar di sana,” katanya.

Harus diakui, tinggal bersendirian di negara Uncle Sam itu tanpa keluarga adakalanya membuatkan jiwa penyanyi ini sesekali rasa sunyi dan bosan.

Namun, ia sikit pun tidak pernah mematahkan semangat Najwa dan masa lapangnya digunakan sebaik mungkin dengan mencipta lagu-lagu baru.

“Selamatlah masa saya banyak dihabiskan di kolej dan untuk melepaskan kerinduan, saya dan pelajar-pelajar Malaysia akan berkumpul bersama.

“Dan bak kata orang, sambil menyelam minum air. Jadi saya mengambil kesempatan cuti hujung minggu dengan berjalan-jalan mengenali tempat-tempat menarik yang ada di situ.

“Syukur juga, kolej itu selalu membuat aktiviti dengan memanggil beberapa penyanyi ternama seperti India Arie dan Bilal Sayeed Oliver serta beberapa lagi penyanyi lain untuk berkongsi pengalaman mereka,” ujarnya.

Menyifatkan pengajian muzik di Berklee sebagai sesuatu yang sudah lama diimpikan terdapat juga sedikit cabaran yang harus dilalui di negara orang.

Tidak gemar memandu kereta di sana, Najwa lebih senang menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki. Namun keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan pergerakannya.

“Bila cakap tentang hal cuaca, ia dilihat bukan satu isu yang besar. Bagi orang Asia macam kita, keadaaan itu sungguh tidak menyelesakan.

“Bayangkan, dalam masa satu hari, keadaan cuaca menjadi sekejap panas, kemudiannya sejuk dan tiba-tiba salji pula di waktu malam. Bila keadaan menjadi begitu, ia membuatkan saya malas nak keluar,” selorohnya.

10 soalan menarik

1. Lagu kegemaran Najwa yang selalu didengar?

Twice, nyanyian Little Dragon.

2. Bila sedih, Najwa akan..?

Saya akan dengar lagu-lagu sedih sampai nangis dan lepas itu baru lega. Biar rasa sedih itu pergi.

3. Perkara yang paling tidak disukai apabila seorang lelaki cuba mengurat Najwa?

Tak suka bila cara mereka yang berlagak bagus.

4. Berapa kali Najwa melalui fasa ‘Cinta Monyet’?

Tak tahulah. Tapi masa berumur 12 tahun adalah juga cinta-cinta monyet..hahahaha.

5. Dalam setahun berapa kali tukar telefon bimbit?

Sekali.

6. Idea mencipta lagu muncul pada..?

Biasanya idea datang apabila melihat persekitaran saya dengan apa yang telah berlaku.Ia akan muncul bila-bila masa. Tetapi, apabila berada di depan piano, lagi cepat idea itu datang.

7. Kali terakhir jatuh?

Oktober tahun lepas. Waktu itu saya jatuh tangga ketika menjalani sebuah rakaman program. Terseliuh teruk dibuatnya.

8. Aktiviti sukan yang dibenci?

Rasanya, bukan benci cuma saya tak pandai dalam sukan. Lebih-lebih lagi bungee jumping. Saya tak akan melibatkan diri benda-benda yang boleh membuatkan saya rasa gayat.

9. Pernah dibuli? Atau membuli?

Tak pernahlah. Hahaha..

10. Mata pelajaran yang tidak disukai ketika zaman sekolah?

Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni dan Matematik.

Foto AZLINA ABDULLAH

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan