5 Peserta Maharaja Lawak Mega Disingkirkan Minggu Ketiga

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Boboi. Foto ROHAIZAT MD DARUS
Boboi. Foto ROHAIZAT MD DARUS

SHAH ALAM: Lima peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) bakal disingkirkan pada minggu ketiga bagi menetapkan 12 peserta yang layak bertanding ke peringkat seterusnya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, lima peserta yang mendapat markah terendah akan disingkirkan pada permulaan minggu ketiga.

“Kami ingin membuat kejutan kepada penonton. Jadi, sebab itu kami akan mengumumkan penyingkiran lima peserta yang mendapat markah terendah pada minggu hadapan.

“Tetapi lima peserta yang mendapat markah teratas iaitu Boboi (61 peratus), Bawel (58 peratus), Bawal Power (57 peratus), Adlin (57 peratus) dan Pimai (57 peratus) terselamat daripada penyingkiran itu,” ujar Nizam sewaktu sidang media selepas program itu berakhir di Royal Theater Selangor, di sini, Jumaat.

Nizam menambah, “Jika mengikut format, penyingkiran memang dirancang akan berlaku pada minggu ketiga.

“Kami menganggap di awal program ini penonton masih di peringkat mengenali setiap kumpulan dari negara ini, Singapura dan Indonesia.

“Melalui markah peratusan, kita dapat melihat Bawel mendapat sokongan kuat daripada penonton tempatan tanpa mengira sempadan.

“Selepas tinggal 12 peserta, baru kami akan menetapkan tema pada minggu keempat.” katanya.

Sementara itu, chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan) selaku juri tetap MLM agak kecewa dengan prestasi peserta yang agak menurun pada minggu ini.

“Saya melihat peserta-peserta kurang memberikan idea yang menarik dan seperti tiada modal untuk berlawak apabila masing-masing saling menggunakan tiga juri (termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan) sebagai bahan lawak.

“Peserta dari Singapura memberikan persembahan yang mengecewakan. Saya lihat Gebu seperti tidak bersedia kerana terlalu banyak menyanyi berbanding membuat lawak. Sedangkan apabila mendengar nyanyian mereka, tiada pula kelakarnya.

“Bagaimanapun, saya sangat memuji persembahan Adlin yang dirasakan paling menyerlah pada minggu ini.

“Dia membuat latihan dengan baik dan tidak semua orang boleh melakukan persembahan yang baik sepertinya.

“Saya melihat peserta dari Indonesia juga menghiburkan,” katanya panjang lebar.

MLM disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Jumaat, pukul 10 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan