Pelawak, Pelakon & Deejay Serikan Konsert 30 Tahun Search

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anggota kumpulan Search dan Jerome Lee ketika sidang media Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang pertama.
Anggota kumpulan Search dan Jerome Lee ketika sidang media Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang pertama.

KUALA LUMPUR: Pelawak, pelakon dan deejay akan menyerikan Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang bakal berlangsung di tiga lokasi seluruh negara ini bermula 19 November hingga 17 Disember depan.

Menurut vokalis Search, Amy, atas perbincangan anggota kumpulan itu dengan pihak penganjur, Oracle Accord, mereka memilih deejay Burn, deejay Nana, pelakon Jehan Miskin dan alumni Raja Lawak seperti Nabil, Angah, Jep dan Johan sebagai pengacara sampingan.

“Kami menjangkakan, dengan kehadiran pelawak, pelakon dan deejay itu akan menjadikan siri konsert ini yang paling hebat pernah dianjurkan di negara ini.

“Kami merasakan pemilihan ini adalah pemilihan terbaik dan menjadi kelainan kepada persembahan yang pernah Search lakukan sebelum ini,” kata Amy pada sidang media kedua konsert tersebut di Hard Rock Café, di sini, Khamis.

Selain itu, siri konsert itu turut mengundang penyanyi Datuk M. Nasir untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur dan tiga kumpulan yang akan membuat persembahan pembukaan seperti Sofea di Pulau Pinang, Koffin Kanser (Johor) dan Projek Pistol (Kuala Lumpur).

Sementara itu, Pengarah Aktivasi Oracle Accord, Jerome Lee turut mengumumkan hadiah berupa tiga buah kereta Perodua Viva 660 BXA bernilai RM25,300 untuk dimenangi oleh peminat fanatik Search di setiap lokasi konsert.

“Peminat yang membeli tiket konsert itu berpeluang untuk memenangi hadiah kereta itu dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan serta memperolehi kupon cabutan bertuah.

“Nama pemenang akan diumumkan sebelum Search muncul membuat persembahan,” katanya.

Search dianggotai oleh Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar utama) dan Yazit (dram).

Konsert itu akan diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 19 November ini, Stadium Hassan Yunos, Larkin, Johor Baru (3 Disember) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).

Konsert ini akan berlangsung selama tujuh jam bermula dari 5 petang.

Penjualan tiket konsert telah dilakukan pada harga RM59 di Pulau Pinang dan Larkin manakala RM69 di Kuala Lumpur di www.tickethotline.com.my.

Peminat-peminat Search juga boleh melayari laman web rasmi konsert ini di www.facebook.com/SEARCH30.

Bagi peminat bertuah yang klik 'like' pada laman sosial itu bakal berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa dua tiket konsert.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan