JAIS Keluar Waran Tangkap Terhadap Bob Lokman - Berita Hiburan | mStar

JAIS Keluar Waran Tangkap Terhadap Bob Lokman

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memperoleh waran tangkap untuk menahan pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman (gambar) kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin memberitahu waran itu telah dikeluarkan pada 28 Oktober dan membolehkan pihak mereka menangkap Bob jika didapati berada di negeri itu.

Marzuki berkata demikian selepas merasmikan 'Seminar Hukuman Alternatif: Pelaksanaan dan Keberkesanan' di Intekma Resort pada Selasa.

"JAIS masih mencari Bob kerana dia diperlukan untuk pihak kami menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dikenakan ke atasnya.

"Kami juga sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membolehkan Bob hadir di Mahkamah Syariah.

“Beliau akan dibebaskan dengan jaminan selepas kenyataannya di ambil," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes melibatkan Bob yang sebelum ini ditahan JAIS ketika sedang memberi ceramah di hadapan lebih 70 orang di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat pada bulan lalu.

Turut dilaporkan bahawa Bob telah diarahkan untuk hadir ke JAIS untuk memberi keterangan tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Bob disiasat di bawah seksyen di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan