Scha Mahu Padam Gelaran Stereotaip

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FAKTOR keterbatasan masa yang mencemburui pertemuan OopStarz! bersama pelakon dan pengacara Scha Al- Yahya (Scha) (gambar) tidak menghalang kelancaran kami bertukar cerita.

Dalam kunjungan singkat aktres yang popular dengan siri televisyen Awan Dania ini ke Menara Star, petang Khamis lalu, banyak perkara sempat dibualkan.

Berbekalkan paduan karakter periang dan tangkas empunya badan, mudah saja Scha menzahirkan jawapan bagi rangkaian persoalan yang diajukan.

Menyentuh tentang skop kerjaya sebagai pelakon sejak empat tahun yang lalu, bekas pramugari ini mengakui bersyukur dan selesa dengan kedudukannya pada hari ini.

“Dalam tempoh empat tahun bergelar pelakon, saya berasa selesa dengan kedudukan saya dalam dunia lakon tanah air. Saya tidak terlalu gah atau terlalu kerdil bagi seorang pelakon yang berkecimpung tidak sampai lima tahun dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, kehadiran saya sebagai anak seni punya tempat sendiri. Dalam kesederhanaan itu, pelbagai tawaran lakonan dan pelantikan sebagai duta beberapa jenis produk terus mengukuhkan kerjaya, selain sokongan berterusan daripada keluarga dan peminat,” katanya.

Sambungnya, sekalipun dia terus dilabel sebagai aktres stereotaip menerusi watak wanita yang kasar, tomboi dan selamba dalam kebanyakan drama dan filem, jauh di lubuk hati anak kedua dalam keluarga ini memendam impian untuk keluar daripada zon selesa itu.

“Isu stereotaip bukan benda baru kerana watak kelakian dan kasar dalam kebanyakan lakonan saya. Sebagai pelakon, tentu saya berhajat untuk mencuba watak yang lebih berat, beremosi dan mencabar kemampuan diri.

“Sayangnya, sehingga kini banyak tawaran watak yang berbeza dan baru itu terpaksa saya tolak kerana pertindanan jadual kerja. Sebab itu, saya masih terkandas dengan watak yang sama,” akuinya.

Namun, Scha tidak mahu terus selesa di takuk yang sama. Atas iltizam untuk terus berkembang, dia merancang mengikuti kelas lakonan pada tahun depan bagi memantapkan penghayatan lakonannya.

“Saya perlu ‘keluar’ daripada pandangan lazim penonton terhadap lakonan saya untuk melonjakkan diri ke tahap lebih tinggi. Pada tahun depan, saya mahu mengikuti kelas lakonan bagi memantapkan mutu lakonan.

“Secara umum, hayat seseorang artis dalam bidang ini tidak panjang ekoran persaingan sengit dan selera penonton yang berubah-ubah.

“Sebagai seorang yang serius dalam bidang ini, saya perlu melengkapkan diri dengan mutu kerja yang lebih baik dari masa ke semasa selagi diperlukan,” kongsinya.

Awal pelengkap kekurangan

Soal cinta dan perhubungan, biar puluhan kali diajukan kepada mana-mana artis sekali pun, memang tidak pernah terkecuali daripada topik bualan.

Tiada pengecualian juga bagi Scha. Namun, keterbukaannya dalam berkongsi kisah cintanya dengan pengacara dan pelakon Awal Ashaari cukup menyenangkan.

Ringkas mengulas perkara itu, Scha berkata, pendekatan yang dipilihnya iaitu berterus-terang tentang soal cintanya adalah kunci yang mengurangkan kontroversi murah terus bertandang.

“Sejak awal lagi, kami tidak pernah bersembunyi atau berdolak-dalik. Apabila orang sudah tahu, mereka akan berpuas hati dan tidak terus mendakwa itu dan ini.

“Mungkin sebab itu, hubungan saya dan Awal kurang dicemari cerita remeh-temeh atau kontroversi yang bukan-bukan,” jelasnya.

Sekalipun kisah cinta yang bersemi sejak dua tahun lalu itu bukan topik segar di kalangan peminat, tarikh keramat yang bakal memaktubkan penyatuan pasangan ini terus mengundang teka-teki.

Malangnya, Scha mengakui kebahagiaan mereka masih tidak dapat dinoktah dengan ikatan perkahwinan, sekali pun perancangan ke arah itu sering dibincangkan.

“Walaupun ramai yang membuat spekulasi kononnya kami akan melangsungkan perkahwinan pada Januari depan, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

“Memang kami kerap berbincang tentang perkahwinan tetapi masih tiada ketetapan yang dibuat kerana kesibukan masing-masing. Apatah lagi untuk menetapkan tarikh tertentu seperti yang dicanangkan itu,” hurainya.

Ditanya pula tentang keyakinannya untuk bersuamikan pemuda berusia 30 tahun itu, Scha menyifatkan Awal sebagai pelengkap kekurangan dirinya.

“Selepas dua tahun berkawan, kami semakin mengenali di antara satu sama lain dan bersedia untuk ke fasa seterusnya. Dia (Awal) adalah lelaki yang mengimbangi kekurangan saya.

“Jika saya marah, dia akan tenang untuk mengendurkan ketegangan. Apa juga kelebihan atau kekurangan diri saya diisi olehnya. Saya harap persefahaman dan keserasian ini akan terus bertahan,” katanya.

Jadi tomboi lagi

Berkongsi cerita tentang filem terbarunya Aku Bukan Tomboy (arahan Syamsul Yusof) yang bakal muncul di pawagam pada 17 November depan, wanita berketinggian 5 kaki 7 inci ini sudah bersedia untuk menerima pertikaian penonton kerana menggalas watak kasar dan kelakian buat ke sekian kalinya.

Bagaimanapun, Scha punya penjelasan di sebalik persetujuannya memainkan watak tersebut. Katanya, rasa hormat terhadap penerbit filem itu, Datuk Yusof Haslam membuatkannya akur dengan tawaran itu.

“Saya terima watak Farisa/Eisha dalam filem itu semata-mata kerana penerbitnya, Datuk Yusof Haslam. Saya sangat hormat dan kagum dengan kerja beliau dan apabila ditawarkan memegang dua watak.

“Walaupun saya sedar ia pasti mengukuhkan lagi persepsi orang terhadap lakonan saya yang stereotaip, saya telah cuba sebaik mungkin menampilkan beberapa kelainan menerusi watak itu,” katanya.

Foto NORMAN HIU Busana BUTIK MIMPIKITA, Jalan Telawi 2, Bangsar (Terima kasih Amira) Solekan TIAR ZAINAL (013-6284835)

Busana BUTIK MIMPIKITA, Jalan Telawi 2, Bangsar (Terima kasih Amira)

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan