'In Perfect Harmony' Untuk Peminat Muzik Pelbagai Era

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Teraju utama Chang Fang Chyi, Tan Soo Suan dan Tria Aziz (kanan) menyampaikan lagu Josh Groban, You Raise Me Up dengan iringan ensemble.
Teraju utama Chang Fang Chyi, Tan Soo Suan dan Tria Aziz (kanan) menyampaikan lagu Josh Groban, You Raise Me Up dengan iringan ensemble.

PETALING JAYA: Muzikal In Perfect Harmony: A Malaysian Musical Journey anjuran Star Publications (M) Berhad dengan kerjasama Dama Musical Production bukan sekadar meraikan sambutan ulang tahun ke -40 akhbar itu tetapi ia juga satu penghargaan kepada peminat muzik pada era 70-an hingga kini.

Muzikal berkenaan berlangsung bermula 6 hingga 23 Oktober ini di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

Menariknya, muzikal arahan Pun Kai Loon itu turut menyelitkan jurnal kejadian dan peristiwa penting yang berlaku baik di Malaysia mahu pun di peringkat antarabangsa sepanjang penubuhan syarikat akhbar itu yang bermula pada 1971.

Rangkaian pelbagai genre lagu didendangkan oleh tiga teraju utama iaitu Tan Soo Suan, Tria Aziz dan Chang Fan Chyi dengan iringan “ensemble” yang lain.

Ia turut diperkuatkan lagi dengan kehadiran personaliti radio dan pelakon veteran Patrick Teoh selaku tukang cerita dan pelawak Douglas Lim yang menggalas watak seorang deejay radio.

Bermula dengan era 1970-an, penonton akan dihiburkan dengan lagu “medley” pembukaan In Perfect Harmony dan Imagine.

Seterusnya, penggemar muzik era itu pasti terhibur dengan lagu-lagu seperti Dancing Queen, Y.M.C.A dan medley Stayin’ Alive/ Night Fever/ Tragedy.

Beralih ke era 80-an, penonton pasti terbuai dengan melodi indah seperti “medley” That’s What Friends Are For/ We Are The World dan Like A Virgin.

Kehangatan muzik pada era 90-an pula menerusi lagu-lagu seperti Bohemian Rhapsody, medley My Heart Will Go On/ Hero/ I Will Always Love You, Balik Kampung/ Chow Kit Road dan Kuch Kuch Hota Hai pasti mengimbau memori penonton.

Pada segmen terakhir pula, penonton akan dipersembahkan dengan rangkaian lagu tahun 2000 seperti Gemilang, Complicated/ Baby, Bad Romance, Nobody dan You Raise Me Up.

Selain itu, empat nama besar dalam dunia nyanyian tanah air turut membuat penampilan eksklusif sebagai penyanyi undangan.

Penyanyi Zainal Abidin tampil pada 6 hingga 9 Oktober lalu, Sean Ghazi (12-16 Okt), Datuk David Arumugam (19-23 Okt) dan The Seasons 4 (12, 16, 19 & 23 Okt). Kesemua mereka mempersembahkan lagu popular seperti Getaran Jiwa, As Time Goes By, Only You, Hijau dan Sampaikanlah Salam dengan cara tersendiri.

Tiket-tiket berharga RM103, RM153, RM203, RM233, RM263 dan RM303 (untuk persembahan Rabu hingga Ahad malam) manakala bagi pertunjukan pada Sabtu dan Ahad petang, tiket-tiket berharga RM93, RM153, RM173, RM213 dan RM253.

Muzikal ini dipentaskan setiap hari pada pukul 8.30 malam, selain pertunjukan siang pada pukul 3 petang pada 22 dan 23 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi kaunter tiket KLPac di talian 03-4047 9000, TAS @Lot10 03-2142/3 2009 atau 03-7967 1988 sambungan 1432 (pembelian korporat untuk 50 tiket dan ke atas).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan