Keputusan Saman Fitnah Lisdawati Terhadap Nadia 31 Oktober Ini

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lisdawati.
Lisdawati.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, menetapkan 31 Oktober ini untuk memberikan keputusan dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pelakon, Lisdawati terhadap dramatis, Nadia Mustafar berhubung satu artikel berkaitan isu hutang, enam tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan yang dikemukakan oleh peguam-peguam yang mewakili kedua-dua anak seni terbabit.

Lisdawati atau nama sebenarnya Nisnawati Nazaruddin, 33, selaku plaintif diwakili oleh peguam Sangeet Kaur Deo manakala peguam-peguam Mohamed Lusfi Yaakob dan Siti Noor Julaini Mohd Shahar mewakili Nadia yang dinamakan sebagai defendan.

Sangeet menghujahkan bahawa, pihaknya telah berjaya membuktikan Nadia ada mengeluarkan kata-kata fitnah merujuk kepada Lisdawati dalam satu temu bual oleh wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani (Allahyarham).

Temu bual tersebut kemudiannya diterbitkan dalam artikel bertajuk 'Hutang - Nadia Mustafar serang Lisdawati?' oleh majalah itu pada keluaran bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.

Tambah Sangeet, meskipun Nadia mengatakan dia tidak pernah menyebut nama Lisdawati dalam temu bual itu, Hanif telah mendapatkan komen plaintif yang merupakan rentetan daripada apa yang telah diberitahu oleh Nadia kepadanya.

"Defendan juga menyatakan dia langsung tidak terkejut melihat artikel tersebut dan tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbetulkan artikel terbabit.

"Setiap hari ada sahaja ahli politik yang mengeluarkan kenyataan dan ada yang disalah tafsir oleh wartawan. Adalah sesuatu yang biasa untuk menghubungi semula wartawan itu dan mohon dibuat ralat.

"Tetapi Nadia tidak berbuat demikian dan menyerahkan kepada orang luar untuk membuat andaian. Ini menunjukkan bahawa dia tidak peduli untuk membetulkan kenyataan itu dan wartawan terbabit hanya menjalankan tugasnya dengan tepat," tambah Sangeet.

Beliau juga menghujahkan, Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, seharusnya bertanggungjawab terhadap kata-katanya yang menyebabkan wartawan membuat kesimpulan bahawa ia merujuk kepada plaintif.

"Kes ini juga melibatkan penerbitan semula dan defendan tidak hanya mengatakan kata-kata fitnah, tetapi turut menyebabkan ia diterbitkan di dalam majalah Media Hiburan yang dibaca oleh orang awam," kata Sangeet.

Selain itu, Sangeet juga memberitahu, Nadia yang membintangi filem “Zombie Kampung Pisang” telah enggan memohon maaf kepada Lisdawati walaupun diminta berbuat demikian menerusi surat bertarikh 18 Julai 2005.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah dapat mempertimbangkan ganti rugi sebanyak RM250,000 diberikan kepada Lisdawati bersama dengan faedah dan kos yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, Mohamed Lusfi pula menghujahkan bahawa berdasarkan keterangan Lisdawati, pelakon itu sendiri telah bersetuju bahawa artikel terbabit tidak pernah menyatakan namanya dan Nadia juga tidak pernah membuat laporan polis atau mengambil tindakan mahkamah agar wang tersebut dikembalikan.

Ini kata Mohamed Lusfi menunjukkan bahawa Nadia tidak ada mengaitkan plaintif dengan isu hutang dalam satu artikel yang tidak ditulis sendiri oleh defendan.

Beliau juga menyatakan, tidak ada seorang pun saksi plaintif, iaitu Lisdawati, wartawan hiburan TV3, Nasir Ahmad (Nas Ahmad) dan pengarang Media Hiburan semasa itu, Intan Zabidin mendengar bahawa Nadia telah mengeluarkan kata-kata fitnah itu.

"Sekiranya plaintif tidak berhutang, maka tidak perlu mengaitkan dirinya dengan isu hutang tersebut. Pepatah ada menyatakan siapa yang makan cili maka dia yang terasa pedasnya.

"Tuntutan plaintif tentang apa yang diucapkan oleh defendan hanyalah serkap jarang," kata Mohamed Lusfi dan menambah agar mahkamah menolak tuntutan tersebut dengan kos.

Pada perbicaraan sebelum ini, Lisdawati mendakwa dirinya tidak pernah meminjam wang daripada Nadia sebaliknya berbuat demikian dengan teman lelaki Nadia semasa itu, Mohd Roslan Omar.

Bagaimanapun, Nadia tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut dan mengatakan dia telah bekerja di luar daerah semasa itu dan menyuruh Mohd Roslan untuk berjumpa dengan Lisdawati dan mendahulukan wang RM10,000 bagi pihaknya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan