BELASUNGKAWA: Ahmad Jais, Budak Pejabat Yang Tiada Pengganti

Diterbitkan: Rabu, 12 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ahmad Jais
Ahmad Jais

PETALING JAYA: Selepas dua bintang veteran popular pergi meninggalkan kita iaitu Datin Orchid Abdullah dan Zami Ismail masing-masing pada Mei dan Jun lalu, dunia hiburan tanah air sekali lagi bersedih dengan kehilangan sebutir permata yang sedang bergemerlapan.

Permata itu ialah Datuk Ahmad Jais atau nama sebenarnya Mohd Jais Ahmad yang meninggal dunia pada usia 75 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor pada Selasa akibat komplikasi penyakit paru-paru.

Ahmad Jais yang terkenal dengan imej putih sedondon, daripada baju sehinggalah kasutnya adalah insan yang tidak dapat dicari ganti.

Kehebatannya terletak kepada bakat luar biasa iaitu kekuatan vokal yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pada hari ini.

Dilahirkan pada 23 Mac 1936 di Klang, Selangor, beliau memulakan kerjayanya sebagai penyanyi di khemah kenduri kahwin sebelum melebarkan sayap seninya ke Singapura pada tahun 1959.

Daripada situlah bakat Ahmad Jais dikesan sekali gus memperlihatkan kehebatannya sebagai penyanyi lagu-lagu asli selepas merakamkan album di bawah label Panda Records bersama Orkes Selayang Pandang.

Bekerja sebagai budak pejabat di sebuah syarikat Cycle & Carrige yang berpendapatan RM80 sebulan ketika itu, Ahmad Jais dapat membuktikan bagaimana kehebatan vokalnya mampu merubah kehidupan beliau sehingga di kenang sampai ke mati.

Ahmad Jais dikenali sebagai seorang yang serius. Tetapi jika kena caranya, beliau boleh dibawa berunding dan beliau juga boleh bergurau.

Perkara itu turut diakui oleh rakan-rakannya seperti Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Andrew Goh, Hail Amir, Datuk DJ Dave, Datuk Aziz Satar dan promoter pertunjukan pentas, Mas Omar.

Malah ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 71 pada 28 Mac 2007, beliau mendapat hadiah paling bermakna apabila diberi kepercayaan untuk menghiburkan peminat-peminatnya menerusi Konsert Bahtera Merdeka di Istana Budaya.

Ia sesuatu yang amat bernilai bagi Allahyarham apabila konsert yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu mendapat sambutan luar biasa apabila dipenuhi oleh peminat lagu-lagu Allahyarham.

Kehebatan itu menyaksikan betapa bakat Allahyarham diperakui oleh peminat dunia hiburan khasnya mereka yang menggemari lagu-lagu malar segar nyanyian beliau.

Pada konsert itu Allahyarham menyanyikan lebih 22 buah lagu popular tanpa sedikit pun rasa penat.

Antara lagu popular Allahyarham ialah Bahtera Merdeka, Juwitaku Sayang, Halimun Malam, Umpan Jinak Di Air Tenang, Lambaran Terakhir dan Kucupan Azimat.

“Apa yang saya harapkan agar saya diberikan kesihatan yang baik untuk saya menghiburkan peminat-peminat saya,” kata beliau mengimbas semula sebelum acara itu bermula tiga tahun lalu.

Sepanjang perjalanan Allahyarham sebagai anak seni, pelbagai dugaan telah beliau lalui termasuklah dikapur penganjur, melakukan persembahan di ceruk kampung dan juga pernah menginap di hotel yang keadaannya bagaikan sebuah rumah buruk.

Keikhlasan

Tetapi tidak sesiapa tahu, antara resipi kekuatan beliau sehingga mampu bertahan pada usia yang sudah lanjut adalah kerana keikhlasan.

Beliau amat percaya keikhlasan dan doa daripada peminat yang sanggup mengeluarkan wang semata-mata mahu menyaksikan bakat seninya adalah ubat yang paling mujarab pada dirinya.

Allahyarham tidak pernah menetapkan harga jika dipanggil untuk membuat persembahan apatah lagi jika ia melibatkan pertunjukan yang diatur oleh rakan-rakannya.

“Saya amat segan untuk menetapkan harga tambahan pula kalau kawan-kawan yang memanggil saya. Tapi kalau orang yang saya tak kenal, barulah saya berani memberikan harganya.

“Semasa membuat persembahan saya akan pastikan dapat membuat sesuatu yang terbaik kerana peminat membayar semata-mata untuk melihat persembahan saya,” katanya.

Mengimbas kenangan silamnya, Allahyarham menghasilkan album pertama pada tahun 1965 dengan judul Kucupan Azimat. Sehingga kini beliau berjaya menghasilkan kira-kira 15 buah album dan merakamkan lebih 100 buah lagu.

Beliau juga pernah berduet dengan Allahyarham Datin Rafeah Buang dengan lagu Juitaku Sayang dan Kartina Dahari dengan lagu Budi Setahun Segunung Intan. Manakala lagu Selamat Hari Raya antara lagu yang meruntun kalbu setiap kali hadirnya Syawal.

Selain Konsert Bahtera Merdeka, beliau pernah menjayakan Teater Muzikal Suzana@60 di Istana Budaya pada 2006 dan Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2007.

Atas jasa dan baktinya dalam dunia seni, pada tahun 2006 beliau menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Hari ini, Ahmad Jais telah pergi meninggalkan nama yang dikagumi kerana kekuatannya sebagai penghibur sepanjang zaman.

Kehebatannya itu terbukti apabila pada saat pengakhiran hayatnya, beliau sempat membuat persembahan terakhir di Batu Pahat Johor pada 8 September lalu sebelum dimasukkan ke hospital seminggu kemudian akibat sesak nafas.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata dan 13 orang cucu. Isteri beliau, Mas Halilah Mad Nayeen telah meninggal dunia pada tahun 2009 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah darah tinggi dan kencing manis.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan