Jus Buah, Teh Halia Pilihan Mizz Nina

Diterbitkan: Isnin, 10 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

POPULARITI penyanyi Mizz Nina, 31, mula memuncak selepas kemunculan lagu What You Waiting For nyanyiannya dengan penyanyi Amerika Syarikat, Colby O’Donis.

Lebih daripada itu perkenalannya dengan vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh yang kini bergelar suaminya berjaya mengangkat nama beliau dalam industri hiburan tanah air.

Pasangan ini diijabkabulkan pada 1 Julai lalu di kediaman keluarga Nina di Ukay Heights, Ampang, Selangor, selepas menjalinkan hubungan cinta sejak 2009.

Biarpun pada mulanya mereka cuba menyembunyikan hubungan istimewa itu, namun akhirnya perkara tersebut bukan lagi menjadi rahsia.

Kini, Nina masih cuba menyesuaikan diri untuk bergelar seorang isteri setelah berumah tangga.

“Saya rasa seperti baru semalam kami berkenalan dan kini kami sudah sah bergelar suami isteri serta tinggal bersama-sama di bawah satu bumbung.

“Biarpun begitu, kami tetap dalam proses mengenali diri masing-masing dengan lebih dekat.

“Walaupun masih kekok menjalankan tugas sebagai isteri, saya tetap mencuba melakukan yang terbaik dalam menguruskan keperluan suami seperti makanan dan pakaian.

“Tetapi bukanlah setiap masa saya akan memasak untuknya kerana mempunyai komitmen kerja dan dia juga sibuk dengan kerjanya.

“Sekarang, kami sama-sama sibuk menghabiskan proses pembikinan album untuk pasaran tahun hadapan dan saya juga bakal menjalani penggambaran video muzik terbaru,” ujarnya yang sedang popular dengan lagu Take Over yang dinyanyikan secara duet dengan penyanyi hip hop antarabangsa, Flo Rida.

Diusik tentang cahaya mata, Nina akui belum mempunyai tanda-tanda sedang hamil dan sebolehnya dia dan Noh sudah merancang untuk menimang anak selepas dua tahun berkahwin.

“Buat masa sekarang, kami tidak menolak rezeki anak jika sampai terlebih awal tetapi biarlah kami mengukuhkan kerjaya masing-masing terlebih dahulu,” katanya lagi yang berhasrat untuk berduet dengan artis tempatan.

Nina akan cuba menghasilkan muzik yang lebih ikonik dengan menggabungkan muzik-muzik baru dan segar.

“Misalnya jika saya memilih Datuk Sheila Majid yang menyanyikan lagu genre jaz, saya akan mengikut stailnya dengan menggabungkan irama itu dengan pengaruh lagu rancak.

“Sasaran saya untuk album terbaru nanti adalah lagu-lagu yang mempunyai irama rancak, elektro dan hip hop.

“Kini, saya baru sahaja menyiapkan empat buah lagu dan cuba untuk menambah enam buah lagu lagi untuk dimuatkan dalam album tersebut,” katanya mengenai album keduanya itu.

Gaya hidup sihat

Beralih kepada tip kecantikan, Nina akui agak menitikberatkan tentang gaya hidup sihat iaitu mengamalkan untuk meminum banyak air suam setiap hari.

Jika tidak, ujar Nina, dia akan menggantikan air suam dengan jus buah-buahan dan sedaya upaya mengelak daripada mengambil minuman berais setiap kali terlibat dengan persembahan nyanyian.

“Saya juga mengamalkan minum teh halia yang bagus untuk vokal. Jika saya pergi ke spa, pekerja spa akan menyediakan air teh hijau atau teh halia yang di campur dengan madu.

“Selain itu, saya gemar melakukan senaman sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Tentang pemakanan, saya suka mengawal diet seimbang dan teratur. Misalnya jika saya makan nasi ayam pada waktu siang, jadi pada waktu malam saya makan banyak sayur-sayuran.

“Kalau boleh elak makan selepas pukul 7 malam agar dapat mengekalkan berat badan ideal. Untuk kulit terutama pada bahagian muka, saya akan melakukan rawatan di pusat kecantikan dan melakukan rutin harian seperti mencuci dan melembapkan muka.

“Biarpun saya jarang mengamalkan petua tradisional, tetapi saya cuba untuk seimbangkan setiap perkara melibatkan kecantikan dan kesihatan agar dapat mencegah daripada sebarang penyakit berbahaya,” jelasnya kepada OopStarz!

Merancakkan lagi perbualan, anak bongsu daripada lima beradik ini turut berkongsi tentang dunia fesyennya yang tidak dapat dipisahkan dengan muzik.

Katanya, fesyen perlu seiring dengan muzik. Apabila membuat persembahan di pentas, dia lebih gemar memakai pakaian yang selesa dan manis dipandang.

“Saya bukanlah seorang yang terlalu feminin untuk menyanyi dengan memakai skirt atau gaun sebaliknya selesa mengenakan seluar seperti legging.

“Tetapi jika menghadiri majlis keraian, pasti saya tidak menolak untuk memakai gaun atau pakaian lain yang lebih formal,” katanya.

Tambah Nina, memadai baginya menata rias wajah dengan memakai bedak kompak, maskara dan celak. Antara jenama pilihan adalah Bobbi Brown, MAC, Nars dan Sephora.

Dalam perkembangan lain, dia juga bakal menghasilkan perniagaan pakaian secara dalam talian kecil-kecilan yang dinamakan Mizz De Menor dan dijangka akan dilancarkan pada minggu depan.

Foto BIBO ASWAN (017-3878007) Solekan KHIR KHALID menggunakan produk LAURA MERCIER Pakaian & Aksesori TENGKU SYAHMI Kasut UNITENDERBLUSH Lokasi EMPORIUM GRAND CAFÉ, THE LOUNGE, KL

Solekan KHIR KHALID menggunakan produk LAURA MERCIER

Pakaian & Aksesori TENGKU SYAHMI Kasut UNITENDERBLUSH

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan