Olivia Mahu Cari Kekasih Selepas Tamat Sekolah

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Olivia Lubis Jensen (gambar), 18, merancang untuk mempunyai seorang kekasih pada tahun depan selepas tamat persekolahan di sekolah tinggi di negara itu.

Katanya, buat masa ini dia belum bersedia untuk bercinta kerana sibuk dengan pengajian dan lakonan.

"Saya tak banyak waktu untuk bercinta kerana terpaksa membahagikan masa antara belajar dengan lakonan.

"Sebagai perempuan sudah tentu saya juga ingin bercinta dan mungkin pada tahun depan kerana pada akhir tahun ini saya akan tamat pengajian," katanya ketika ditemui di majlis ramah mesra bersama pelakon filem Gerimis Mengundang, di sini, Khamis.

Biarpun tidak mempunyai kekasih, dia sudah biasa berhadapan gosip cinta dengan artis-artis lelaki Indonesia.

"Gosip tentang percintaan sudah biasa sangat dan saya sudah tidak terganggu langsung, kali ini saya digosipkan dengan Kamal Adli.

"Kesian dia sukar untuk terima mungkin kerana tidak biasa dan tertekan dengan gosip tersebut," ujarnya yang turut pernah digosipkan bercinta dengan penyanyi “Terima Kasih Cinta” iaitu Afgan.

Peluang berada di Malaysia selama seminggu untuk sesi memasukkan suara, Olivia berkata dia merancang untuk ke Genting Highland.

"Saya sudah beberapa kali ke Malaysia dan melawat ke beberapa tempat seperti Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Genting Highland.

"Beberapa hari di sini saya merancang untuk ke Genting Highland lagi kerana di sana paling seronok," katanya.

Bercerita tentang pengalaman sepanjang penggambaran filem tersebut, Olivia mengakui sangat mudah bekerjasama dengan semua krew produksi filem ini.

"Banyak perbezaan antara penggambaran filem di sini dan Indonesia, di sini lebih mudah dan tidak seperti Indonesia.

"Lagi pula saya senang bekerja di bawah pengarahan Ahmad Idham dan semua pelakon dan krew yang terlibat kerana semuanya sangat rapat dan tiada jurang batasan seperti kami di sana," jelasnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan