Henry Golding Ingat Asal Usul

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Henry Golding
Henry Golding

MENGIMBAS kembali kenangan tiga tahun lalu, Henry Ewan Golding atau Henry Golding tidak pernah pun terfikir bahawa percutiannya selama tiga minggu ke tanah air selepas 15 tahun menetap di England berubah sekelip mata apabila ditawarkan menjadi hos program 8TV Quickie.

Lebih beruntung, memiliki wajah komersial membuatkan jejaka kacukan Iban-Inggeris ini lebih mudah melariskan ‘produk dirinya’ dalam mengembangkan bakat sebagai seorang pengacara.

Kini, namanya sudah cukup kukuh dalam industri, baik industri hiburan tempatan mahupun di luar negara. Cuma, kata Henry merendah diri, dia masih belum jumpa kepuasan dalam kariernya itu. Apatah lagi apabila orang mengatakan dia popular, Henry berfikiran sebaliknya.

“Popular? Rasanya tak mungkin. Melainkan ada syarikat-syarikat besar seperti Deloitte atau PriceWaterHouseCoopers yang menilai sendiri populariti seseorang artis Malaysia itu.

“Apa-apa pun saya bukanlah seorang yang mengejar glamor dalam bidang ini. Mungkin saya seorang lelaki bertuah yang seronok dengan pekerjaannya dan hasil kerja tersebut membuatkan ia menjadi popular.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memanggil diri ini seorang selebriti tetapi kalau personaliti televisyen (TV), mungkin ya,” selorohnya.

Sibuk dengan penggambaran program Without Boundaries musim kedua yang akan disiarkan pada tahun depan di 8TV, Henry gembira kerana melalui tugasnya sebagai pengacara membuatkan dia dapat menimba ilmu mengenai sesebuah tempat yang dijelajahnya.

Malah, lelaki yang pernah membintangi filem Pisau Cukur ini sudah meletakkan matlamat di mana satu hari nanti, dia berhasrat dapat mengelilingi dunia menerusi program popular Discovery Travel And Living.

“Saya rasa keseronokan bergelar pengacara lebih memuncak apabila berpeluang ke sesebuah tempat yang belum pernah kita pergi. Ini sekali gus mengajar kita tentang kehidupan luar yang mungkin kita tidak tahu susah senangnya.

Makan tempoyak

Bagi sesiapa yang pernah berbicara dengan pengacara ini, dia hanya berkemampuan berbahasa Inggeris dan tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia.

Walaupun lemah untuk menguasai Bahasa Kebangsaan, hal itu tidak bermakna dia lupa tentang asal-usul tempat dia dilahirkan.

“Jujurnya saya memang tidak reti berbahasa Malaysia tetapi faham apabila orang bercakap dengan saya. Bagaimanapun, saya sedang memperbaiki bahasa itu untuk memperluaskan lagi bidang pengacaraan saya menerusi program-program tempatan yang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, Henry menafikan yang dirinya menjadi terlalu kebaratan hanya kerana dia tinggal lama di England.

“Saya dilahirkan di Sarawak dan ibu merupakan keturunan Iban. Malah saya pernah tinggal di Terengganu sebelum berpindah ke England sewaktu usia tujuh tahun.

“Saya juga sering melawat saudara mara di Sarawak apabila ada kelapangan. Walaupun saya hidup dikelilingi dengan unsur-unsur Barat, jangan terkejut, saya suka sangat makanan yang berasaskan tempoyak dan ia merupakan makanan paling sedap. Jadi, mana mungkin saya boleh lupa tentang asal-usul saya,” tuturnya.

Metroseksual

Melihatkan gaya dan rupa paras Henry, ternyata dia seorang yang begitu prihatin tentang penjagaan diri dan wajah.

Kata Henry, sebagai seorang pengacara yang sentiasa sibuk bekerja tidak tentu masa, sekurang-kurangnya dia perlu mengambil makanan suplemen agar kekal bertenaga.

“Kesihatan badan bukanlah satu perkara yang boleh dianggap main-main kerana jika kita tidak menjaga diri dengan baik, maka mulalah penyakit yang tidak diingini akan muncul.

“Biasanya saya akan bersenam dengan kerap dan menjaga pemakanan agar menjadi lebih sihat. Selain itu saya juga perlu menjaga tubuh badan agar lebih berstamina ketika bekerja,” tuturnya.

Ditanya adakah dirinya seorang lelaki metroseksual, kata Henry, dia enggan memberi jawapan sebaliknya ingin orang yang berada di sekelilingnya menilai sendiri.

Dalam pada itu, Henry turut berkongsi tip penjagaan wajah di mana dia akan mencuci wajahnya dua kali sehari agar tidak berminyak.

“Biasanya lelaki agak segan untuk membicarakan tentang hal penggunaan produk wajah, sedangkan ia amat penting.

“Saya harap bagi yang segan, buang ego itu dan fikirlah wajah kita juga perlu mendapatkan penjagaan rapi.

Pada pendapat saya, lelaki moden yang mempunyai karier menarik perlu menjaga diri daripada segi penampilan dan wajah. Barulah mereka boleh membawa personaliti dengan penuh keyakinan,” katanya.

Sementara itu, sengaja mengusik adakah dia sudah mempunyai hubungan cinta dengan mana-mana wanita, Henry enggan memikirkan perkara itu buat masa ini.

“Usia saya baru 24 tahun dan masih lagi sibuk memperkukuhkan kerjaya. Mungkin bila tiba masanya nanti, cinta itu akan hadir tanpa diminta,” akhirinya.

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan