Jimmy Shanley Teruskan Kes Nusyuz Terhadap Isteri

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh,25, pada Khamis, membuat keputusan untuk meneruskan permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy,32.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus pada prosiding sebutan semula kes yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Menurut Mohd Noor Aizan, pihaknya juga telah memfailkan jawapan kepada pembelaan yang difailkan oleh Nursuhaila, pada prosiding terdahulu.

Jimmy, yang mengendalikan program 'Gala TV Plus' seterusnya memberitahu, dia juga telah memasukkan pelbagai bukti setebal 100 halaman termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga rakaman video dan audio yang akan dikemukakan pada perbicaraan tersebut.

Pada prosiding itu, Hakim Syarie Shaharuddin Selamat turut menegur Jimmy apabila dia mengatakan 'lakonan' isterinya semakin menjadi-jadi selepas berpantang.

Shaharuddin: Kamu juga seorang pelakon?

Jimmy: Ya.

Shaharuddin: Kamu jangan berlakon di dalam mahkamah saya.

Pengacara itu seterusnya memohon agar mahkamah dapat memberikan tarikh perbicaraan segera dan Shaharuddin menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh pendengaran permohonan tersebut.

Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Jimmy memberitahu dia memilih untuk berdiam diri selepas Nursuhaila membuat kenyataan media yang mendakwa keretakan rumah tangga mereka disebabkan oleh sikapnya yang pernah memukul dan terlalu mengongkong.

"Saya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak. Tetapi saya mengumpulkan semua bukti yang akan dikemukakan di mahkamah kelak," tambahnya.

Jimmy dan Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dekat sini pada 1 Oktober 2010.

Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986.

Bagaimanapun, pasangan itu hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari menyebabkan Jimmy memfailkan permohonan menuntut Nursuhaila agar kembali taat pada 3 Januari lalu manakala permohonan nusyuz difailkan pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, pada 15 Julai lalu, Jimmy memberitahu dia sedang berkira-kira sama ada mahu meneruskan kes itu atau tidak selepas dimaklumkan Nursuhaila bersedia untuk kembali semula apabila tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka, Zahrah pada 24 Jun lalu.

Nursuhaila pada 25 Julai lalu akhirnya 'membuka mulut' mengenai permasalahan rumah tangga mereka dalam sidang media yang diadakan di pejabat syarikat keluarganya di Damansara Damai, dekat sini.

Pada sidang media itu, Nursuhaila mendakwa Jimmy sebagai seorang yang berperangai pelik dan enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan selain pernah dipukul.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan