35 Peratus Karyawan Filem Tiada Pendidikan Khusus

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Program Masterclass tidak dibuka kepada umum tetapi khusus untuk penggiat seni.
Program Masterclass tidak dibuka kepada umum tetapi khusus untuk penggiat seni.

DUNIA perfileman negara pada hari ini menunjukkan perkembangan yang luar biasa apabila pertumbuhannya meningkat secara mendadak khususnya dalam penghasilan filem cereka.

Ia dapat dilihat berdasarkan kepada jumlah filem yang layak untuk tayangan sejak tiga tahun kebelakangan ini meningkat iaitu 27 buah filem pada tahun 2009, 39 filem (2010) dan 41 filem (2011).

Perkembangan itu dapat dibuktikan apabila jumlah pawagam turut bertambah iaitu hanya 66 buah pawagam pada tahun 2005 meningkat sebanyak 103 pawagam pada tahun 2011.

Sepanjang tahun lalu sahaja, produser filem kita berjaya mendapat kutipan kasar iaitu RM85.97 juta sementara dari Januari sehingga Jun lalu, kutipan tiket di pawagam mencatatkan jumlah RM63.389 juta.

Dianggarkan sehingga Disember depan, kutipannya akan mengatasi jumlah tahun lalu. Bukti-bukti ini adalah petanda bahawa masyarakat pada hari ini semakin percaya terhadap keupayaan penggiat seni dalam menghasilkan karya masing-masing yang lebih bermutu dan berdaya saing.

Bayangkan jumlah penonton yang menyaksikan karya anak tempatan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 9.24 juta pada tahun lalu manakala daripada Januari sehingga Jun 2011, ia mencatatkan 6.630 juta.

Malangnya sejauh manakah penggiat seni kita bersedia menghadapi cabaran ketika dunia perfileman sedang berkembang dengan pesat?

Ini kerana tidak semua karyawan tidak kiralah pelakon atau mereka yang bekerja di belakang tabir mahu berusaha untuk menambah pengetahuan masing-masing dalam bidang seni melalui kursus-kursus kemahiran yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.

Kebanyakan mereka bekerja berdasarkan kepada kemahiran yang ditimba daripada bawah dan bukannya memiliki kemahiran khusus dalam bidang yang dipilih.

Atas keinginan untuk melahirkan lebih ramai karyawan agar memiliki kemahiran dalam bidang seni, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memperkenalkan program latihan bagi memberi ilmu kepada anak-anak seni agar dapat meningkatkan kerjaya masing-masing melalui program Masterclass.

Dilaksanakan sejak tahun 2005, Finas telah berjaya menganjurkan 24 buah kelas yang berjaya menarik lebih 272 peserta bagi memberi peluang kepada mereka mendapatkan pendidikan formal di dalam bidang perfileman.

Tiada kemahiran

Pengarah Bahagian Latihan Perfileman Finas, Maimunah Hamzah berkata, program tersebut dijalankan berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati hampir 35 peratus daripada pemain dalam industri tidak mempunyai pendidikan khusus dalam bidang perfileman.

Atas dasar itu, pihak Finas mewujudkan program Masterclass khusus untuk pekerja-pekerja atau penggiat seni yang bekerja di dalam industri berdasarkan pengalaman.

“Ramai di antara penggiat seni tidak mempunyai pendidikan khusus dan mereka memulakan kerjaya dari bawah dan berjaya naik melalui pengalaman tetapi tidak mempunyai sebarang sijil untuk ditunjukkan,” ujarnya ketika ditemui Mingguan mStar.

Maimunah turut menjelaskan, menerusi program yang dilakukan sebanyak empat kali setahun ini, ia dapat meningkatkan pembangunan modal insan perfileman berkualiti dengan memberi peluang latihan yang mampu menyuntik ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pekerja dalam industri.

“Secara tidak langsung, melalui program sebegini ia akan menambahkan lagi bilangan pakar dalam dunia perfileman supaya pada masa akan datang mereka dapat menghasilkan produk filem yang berkualiti dan tidak terkejut jika ia dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Maimunah berkata, program Masterclass ini bagaimanapun tidak dibuka kepada umum dan mengehadkan kepada pekerja dalam industri seni sahaja.

Mereka yang digalakkan menyertai program lima hari ini adalah penulis skrip, karyawan, pelakon, pekerja filem dan pelajar filem.

“Sebenarnya ramai orang awam berminat untuk menyertai program ini tetapi pihak pengurusan Finas telah bersetuju untuk mengehadkannya kepada mereka yang terlibat secara langsung di dalam dunia perfileman sahaja.

“Ini kerana terdapat banyak program dan bengkel lain disediakan oleh pihak Finas yang boleh disertai oleh masyarakat awam,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kursus Masterclass ini terbahagi kepada lima kategori membabitkan bidang pengarahan, penulisan skrip, lakonan, sinematografi dan dokumentari.

Tenaga pengajar

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Latihan Perfileman Finas, Mohd Zolkifli Mohamad Abu Bakar berkata, selepas tujuh tahun program itu diadakan, ia mendapat sokongan daripada beberapa tenaga pengajar jemputan daripada dalam dan luar negara yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu kepada peserta.

Walaupun mendapat sedikit kritikan mengenai penceramah jemputan daripada luar negara, Mohd Zolkifli berkata, perbadanan itu ingin mendedahkan peserta dengan bimbingan dan pengalaman yang mungkin berbeza daripada pengajar tempatan demi meningkatkan industri perfileman negara ini.

“Industri perfileman tempatan dan luar negara mempunyai perbezaan ketara. Perbezaan itulah yang ingin didedahkan kepada peserta yang mana mungkin memberikan faedah kepada mereka untuk memajukan industri perfileman,” ujarnya.

Mohd Zolkifli memberitahu, antara tenaga pengajar luar yang sentiasa memberikan kerjasama adalah nama-nama seperti Peter Dimen, pakar dalam seni lakonan, Yasu Tanaka, berkemahiran dalam penulisan skrin dan Mike Muschamp yang mahir dalam soal sinematografi.

Pun begitu katanya, khidmat profesional dari dalam negara tidak diabaikan. Nama-nama seperti U-Wei Shaari, Fauziah Nawi, Khalid Sulaiman, Normah Nordin dan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin yang mempunyai kepakaran dan pengalaman masing-masing turut menyumbang kepada program Masterclass.

Dalam pada itu, Mohd Zulkifli memberitahu, setakat ini pihak Finas telah menganjurkan dua program Masterclass iaitu penulisan skrin dan lakonan.

Katanya, pada November depan dua lagi program akan menyusul iaitu penceritaan visual dan dokumentari yang telah pun mendapat permohonan daripada penggiat seni.

“Alhamdulillahlah, walaupun kurang mendapat pendedahan dalam media mengenai program ini, setiap kali ia dianjurkan, permohonan yang diterima melebihi kapasiti ditetapkan.

“Bagaimanapun kita tetap menerima semua permohonan untuk ditolak pada program Masterclass akan datang,” katanya.

Mohd Zolkifli memberitahu antara penggiat seni dan pelakon yang telah menyertai program ini seperti Hans Isaac, Vanidah Imran, Mamat Khalid, Rashidi Ishak, Raja Azmi, Gambit Saifullah, Sofea Jane, Afdlin Shauki dan Pierre Andre.

Malah katanya, ada di antara peserta yang kembali menyertai program berkenaan walaupun telah mengikutinya sebelum ini dan ia jelas menggambarkan program tersebut mendapat perhatian daripada karyawan dan penggiat seni tempatan.

Hanya mengenakan bayaran sebanyak RM600 untuk kursus selama lima hari, Mohd Zolkifli memberitahu permohonan untuk menyertai program ini boleh dibuat melalui laman sesawang Finas atau menghubungi terus Bahagian Latihan Perfileman.

Selain dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman dalam meningkatkan ilmu ia juga platform sesuai untuk memperluaskan rangkaian para penggiat seni yang turut terlibat dalam program itu.

Bagaimanapun sedihnya apabila tidak ramai artis ataupun penggiat seni ingin merebut peluang untuk menambahkan lagi pengetahuan mereka.

Hari ini, para artis kita sibuk mengejar tawaran berlakon tanpa mahu mengambil kesempatan untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan