Hardy Hartono Intai Peluang Di Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEMERLAPAN cahaya bintangnya belum cukup bersinar. Biarpun aktor dan model Indonesia bergelar Hardy Hartono ini hadir dengan pakej fizikal yang lengkap, itu bukan kelebihan mutlak untuknya membolosi arena lakonan semudah yang disangkakan.

Kata jejaka berusia 27 tahun ini, tempoh lima tahun berpijak di pentas hiburan dirasakan terlalu hijau dan baru, apatah lagi untuk berpuas hati atau mendabik dada.

Dalam pertemuan istimewa bersama OopStarz! baru-baru ini, Hardy mengakui, dia masih mencari tuah dan faktor X yang dapat melonjakkan lagi namanya agar menggamit perhatian umum.

“Mungkin ramai yang menganggap paras rupa dan fizikal yang saya miliki sebagai satu kelebihan. Hakikatnya, proses untuk bergelar popular tidak semudah yang disangka.

“Selepas lima tahun menceburi bidang seni secara profesional, saya terus bekerja kuat untuk mengintai peluang di merata tempat bagi mengukuhkan nama dan profil,” katanya.

Melihat keraguan dan ekspresi rendah diri yang dipamerkannya saat perbualan kami mengisi ruang, persoalan demi persoalan terus diajukan tentang faktor dan sebab yang merencatkan pengukuhan namanya.

Jelas Hardy, persaingan yang sengit dalam atmosfera seni di Indonesia adalah cabaran terbesar bagi mana-mana pemainnya.

Katanya, untuk menonjol dan ke depan, setiap anak seni harus bijak menampilkan pakej yang tersendiri dan bukan sekadar paras rupa yang kacak atau cantik saja.

“Persaingan yang sengit di Indonesia adalah cabaran terbesar. Kita sedia maklum, terlalu banyak pelakon dan penggiat seni harus bersaing sesama sendiri untuk dikenali dan mendapat tempat.

“Untuk berjaya dalam bisnes hiburan ini, dua pakej asas iaitu paras rupa dan kemahiran harus bergerak seiring. Kedua-duanya perlu saling melengkapi kerana jika kurang salah satunya, maka susahlah untuk membina nama,” luahnya.

Dia yang bermula sebagai model katalog produk pada 2005 berkata, sekalipun namanya tidak segah mana berbanding teman akrab juga aktor Samuel Rizal atau nama-nama lain termasuk Nicholas Saputra, Baim Wong, Fauzi Baadila dan Fedi Nuril, dia cukup bertuah dan bersyukur kerana terus mendapat ruang di sana.

“Sebagai pelakon, masih banyak kekurangan yang perlu diperkemas untuk terus ‘hidup’ di pentas seni.

“Tidak memadai dengan wajah kacak dan fizikal yang menarik tetapi apa yang mampu saya tawarkan kepada penonton menerusi bakat dan keunikan diri,” tuturnya.

Dilamar Erma Fatima

Hardy mengakui lamaran sutradara, Erma Fatima untuk berlakon dalam drama bersiri Kitab Cinta (TV AlHijrah) adalah satu rezeki yang tidak ternilai harganya.

Menerusi peluang itu jugalah dia dapat meluaskan lagi jaringan kerjaya ke negara jiran, Malaysia.

Dia yang menganggap ketentuan itu sebagai permulaan yang baik lantas berharap untuk mengintai lebih banyak peluang di negara ini.

“Pada awalnya saya tidak pasti dan ragu-ragu apabila dilamar oleh pengarah Erma Fatima, awal tahun ini. Kini selepas melihat impak positif daripada pembabitan itu, saya amat bersyukur dengan peluang tersebut.

“Baru-baru ini, saya baru saja muncul dalam versi telefilem Kitab Cinta pada Hari Raya baru-baru ini. Menjelang November depan saya akan kembali terlibat untuk musim kedua drama itu pula,” katanya.

Justeru, Hardy berharap agar pintu rezekinya di gelanggang lakonan tanah air akan terbuka luas selepas ini kerana dia mahu untuk bekerjasama dengan para penggiat dan karyawan tempatan.

“Saya berharap langkah saya ke Malaysia tidak berhenti di sini. Saya ingin membintangi drama atau filem berat dan aksi dan menjalin kerjasama dengan penggiat yang kreatif dan berkaliber di Malaysia.

“Sebab itu, saya perlu terus mencari peluang di sini untuk mengembangkan lagi bakat dan menawarkan lebih banyak pilihan kepada penonton,” jelasnya.

Dianggap sombong

Seperkara yang jelas tentang aktor yang membina nama menerusi sinetron Aqso dan Madina ini adalah sikap pendiam dan pemalu yang dimilikinya. Malah, akuinya dek kriteria itu jugalah dia kurang menonjol berbanding rakan pelakon lain yang seangkatannya.

“Saya rasa antara sebab lain yang membuatkan saya lambat dikenali adalah kerana sikap pemalu, pendiam dan berat mulut.

“Bukan saya sombong cuma memang sejak kecil saya agak kekok untuk memulakan perbualan dengan orang baru. Kebiasaannya, saya akan mengambil masa untuk membina kemesraan dengan orang baru,” kongsinya.

Tambahnya, acap kali juga dia disalah ertikan oleh orang lain yang menganggapnya sebagai seorang yang sombong dan tidak mesra. Realitinya, berkali-kali Hardy menerangkan bahawa dia senang untuk bergaul dengan sesiapa saja.

“Banyak kali orang salah faham dan mendakwa saya sombong dan tidak peramah. Sebab itu, saya tidak rapat dengan ramai orang.

“Lagipun, secara fitrahnya, saya lebih selesa apabila bersendirian. Ketika bekerja di Jepun selama tiga tahun, saya berjauhan dengan keluarga dan rakan-rakan dan selesa dengan keadaan itu,” katanya menyimpulkan bicara.

Foto CHUA KOK HWA Solekan EVA (010-8954465)

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan