Faralyna ‘Sembunyi’ Untuk Berlakon

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIDAK pernah terlintas untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya tetap, pelakon drama Asmara, Faralyna Idris, 20, pada asalnya sekadar mencari pendapatan sampingan bagi membantu keluarga apabila menceburkan diri dalam bidang itu.

Kata Faralyna atau lebih mesra mengelar dirinya Fa, dia mencuba nasib ketika dipaksa oleh ibu kepada pelakon Diana Danielle iaitu Norsiah Ramli untuk pergi ke uji bakat lakonan sebuah drama.

“Fa dan Diana berkawan baik di sekolah, jadi ibunya sering menyuruh saya untuk pergi uji bakat lakonan. Malah dia sendiri yang memperkenalkan saya kepada individu dalam bidang seni.

“Pada ketika itu juga memang keluarga kami mempunyai masalah kewangan, sekurang-kurangnya dengan berlakon saya dapat menampung duit poket persekolahan saya sendiri tanpa menyusahkan keluarga,” katanya yang memulakan lakonan dalam drama Kisah Kaisarah.

Menurutnya, kegiatan lakonan pada awalnya dibuat secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga. Bagaimanapun selepas kerjayanya menjadi semakin serius, rahsia tersebut terpaksa diberitahu bagi mendapatkan restu terutama daripada ayahnya.

“Bapa saya ingin saya jadi juruterbang sebab itu saya terpaksa sembunyikan terlebih dahulu aktiviti lakonan saya ini. Lagi pula dia tidak berapa yakin dengan industri ini kerana dilihat tidak menjamin masa depan.

“Perancangan saya ialah untuk menjadikan lakonan sekadar suka-suka dan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ingin mengambil kursus penerbangan.

“Tapi semakin lama laluan saya sebagai pelakon semakin terbuka dan diterima, malah selepas drama Asmara, ayahlah yang menjadi peminat nombor satu saya,” katanya.

Dari sebuah drama ke sebuah drama, nama dan bakat pelakon jelita ini semakin dikenali dan mendapat perhatian pengarah drama dan filem tempatan.

Dia yang membintangi filem baru Gila-Gila Remaja kini sibuk dengan latihan tarian untuk filem tersebut dan mengharapkan agar penonton dapat menerima kehadirannya dalam dunia seni tempatan.

“Saya harap penonton akan dapat terima lakonan saya di layar lebar, ini merupakan peluang untuk saya tunjukkan bakat kepada penonton dan peminat,” katanya.

Selain Faralyna, filem tersebut turut menampilkan Hairul Azreen, Kay AF9, Aida AF9, dan Nabila Dali.

Belum rancang kahwin

Dalam pada itu, dia yang hangat bercinta dengan pelakon Hairul Azreen Idris, 23, belum merancang untuk mengikat tali pertunangan atau berkahwin dalam masa terdekat, biarpun mengakui lelaki tersebut merupakan teman paling rapat dalam hidupnya buat masa ini.

Bagaimanapun dia berkata, mereka belum cukup matang untuk bergelar tunangan atau pasangan suami isteri.

“Saya mengenali dia lebih tiga tahun lalu. Buat masa ini dia merupakan orang yang paling rapat dalam hidup saya selepas kematian ibu saya pada 2007.

“Namun begitu kami masih terlalu muda untuk menjalinkan sebarang ikatan yang serius. Tunggu usia dan kewangan sudah stabil nanti baru boleh fikirkannya,” tutur Fa.

10 soalan menarik

1. Perkara yang tidak dapat dilupakan ketika zaman persekolahan?

Ketika di Tingkatan Tiga, saya dan seorang rakan baik dan kami sering keluar pada waktu rehat untuk makan di luar, kemudian kami masuk balik ke sekolah.

2. Berapa kali putus cinta ?

Semasa zaman persekolahan, saya tidak ada teman lelaki jadi tidak pernah mengalami perasaan putus cinta.

3. Filem Melayu yang paling digemari?

Gila-Gila Remaja dan Prebet Lapuk.

4. Duit raya paling banyak pernah dapat?

Sewaktu sekolah saya pernah dapat RM1,000 daripada keluarga. Maklumlah keluarga adik-beradik ibu dan bapa saya ramai.

5. Aset yang ada buat masa ini?

Setakat ini rumah dan kereta.

6. Skirt atau seluar?

Saya lebih selesa seluar berbanding skirt kerana lebih ringkas dan memudahkan pergerakan.

7. Hero paling diminati?

Adi Putra kerana lakonan dan ketampanannya.

8. Cita-cita masa kecil?

Juruterbang kerana itu adalah impian ayah saya yang mahu saya jadi juruterbang.

9. Hadiah paling bermakna?

Pada tahun 2004 ketika saya berumur 13 tahun, saya bercuti bersendirian di New York selama sebulan. Pada asalnya dengan ibu tetapi ibu saya ketika itu ada hal yang tidak dapat dielakkan, lalu dia telah mengaturkan perjalanan saya selama sebulan di sana.

10. Orang paling rapat?

Selepas ibu meninggal dunia 2007, saya rapat dengan Hairul Azreen.

Foto SAUFI NADZRI Solekan REZA AMO (0172789981)

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan