KP Baru Finas Perlu Ubah Industri Perfileman Tempatan

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Norman Abdul Halim
Norman Abdul Halim

PETALING JAYA: Penerbit-penerbit filem tempatan mengharapkan Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru iaitu Mohd Naguib Razak, dapat mengubah industri perfileman Malaysia menjadi lebih berkualiti selain pengurusannya yang lebih teratur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim, pelantikan Naguib sebagai 'nakhoda' dalam industri perfileman tempatan diharap dapat mengubah beberapa perkara yang sering menjadi punca perfileman negara sukar untuk berkembang.

"Saya percaya, apabila kita mempunyai ketua, ia lebih mudah untuk kita menggerakkan industri ke arah yang lebih berkualiti.

"Antara perkara-perkara yang akan saya susulkan dalam mesyuarat nanti ialah dari segi pemberian insentif kepada penerbit-penerbit filem mengikut kelayakan gred," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Tambah Norman, sistem pembelian tiket dalam talian juga perlu diperbaharui di mana laporan kutipan tiket hendaklah dikemaskinikan oleh pihak Pemamer yang bertanggungjawab terhadap panggung wayang di negara ini.

Naguib menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim yang telah tamat tempoh kontraknya pada 30 Jun lalu selepas lima tahun berkhidmat. Pelantikan itu berkuat kuasa 1 September lalu.

Kata Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff Rosli pula, dengan pengalaman luas Naguib serta mempunyai hubungan baik dengan penggiat-penggiat seni di luar negara, dia berharap, Naguib dapat mengangkat filem-filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya percaya, Naguib boleh membawa filem-filem Malaysia ke luar negara. Cuma, bagi pihak penerbit filem pula, mereka perlu menghasilkan filem-filem yang berkualiti dan bukan hanya bersifatkan komersial semata-mata.

"Selain itu, Naguib juga perlu menyusun strategi bagaimana dia ingin mengaktifkan Studio Digital Mix Stage yang telah dibina dengan kos berjuta-juta ringgit oleh pihak kerajaan, tetapi tidak dimanfaatkan oleh penerbit-penerbit tempatan kerana mereka lebih gemar ke luar negara untuk membuat pembikinan akhir sesebuah filem," tegasnya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah filem, Ahmad Idham pula berkata, pelantikan Naguib sebagai KP Finas mungkin dapat memberi idea-idea baru dan segar

"Saya tidak pernah kenal atau bertemu dengannya sepanjang saya berada dalam industri seni ini. Tetapi saya percaya, dengan usianya yang masih muda, dia dapat memberi idea-idea segar dalam membangunkan perfileman tempatan.

"Ingin saya katakan, terlalu awal untuk bercakap sama ada dia layak memegang jawatan tersebut atau tidak. Biarlah kita memberi peluang kepadanya, sejauh mana sumbangan yang dapat diberikan kepada industri," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan