'Nasi Lemak 2.0' Tiada Niat Mengkritik - Namewee

Diterbitkan: Selasa, 6 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pelakon filem Nasi Lemak 2.0
Barisan pelakon filem Nasi Lemak 2.0

PETALING JAYA: Pengarah filem baru yang pernah mencetuskan kontroversi menghina lagu Negaraku iaitu Namewee berkata filem pertamanya berjudul Nasi Lemak 2.0 tidak mempunyai niat yang tidak elok dalam mengkritik.

Katanya, filem tersebut merupakan gambaran yang sebenar dan menjelaskan apa yang ingin cuba disampaikan tentang masyarakat majmuk di negara ini.

“Mungkin sebelum ini, ramai ingat yang saya hanya pandai mengkritik dan saya hanya berani melakukannya di saluran Internet melalui Youtube.

"Kini, saya mempunyai buah tangan yang dapat memberikan gambaran yang lebih jelas niat saya, iaitu untuk melihat sebuah Malaysia yang meraikan segala perbezaan masyarakat kami yang berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan media selepas tayangan berbayar yang diadakan di Melbourne, Australia, 31 Ogos lalu.

Selain itu, dia turut terharu dengan sambutan dan maklum balas penonton terhadap filem tersebut selepas tayangan yang dilakukan di panggung Hoyts di Melbourne Central, Australia, baru-baru ini.

“Memang saya rasakan, Nasi Lemak 2.0 akan diterima baik kerana filem ini meraikan keistimewaan kami sebagai rakyat Malaysia dengan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.

“Walau bagaimanapun, sambutan di sini oleh penonton yang sanggup membayar lebih enam kali ganda bayaran tontonan di panggung wayang di Malaysia, menjadi pembakar semangat untuk bersiap sedia untuk filem ini ditayangkan di tanah air,” katanya.

Selain Nawewee sendiri pelakon lain yang turut membintangi filem tersebut ialah Adibah Noor, Karen Kong, Afdlin Shauki, Kenny & Chee, Reshmonu, Dennis Lau, Nur Fathia, Nadine Thomas, Pete Teo, Ho Yuhang, Dian Sharlin dan Felixia Yap, Dennis Lau dan pendatang baru Felixia Yeap.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi Adibah Nor berbangga dengan hasil kerja Namewee dalam menghasilkan filem komedi tersebut kerana seiring dengan seruan kerajaan 1Malaysia.

“Saya bangga menjadi sebahagian filem ini kerana dalam menghibur, Nasi Lemak 2.0 adalah ‘resipi’ kearah visi Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak, ke arah 1Malaysia.

“Dari sambutan penonton filem ini membuktikan kita semua mampu gelak ketawa dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama dan dalam masa yang sama, menerima segala perbezaan tersebut yang membuatkan kami suatu masyarakat yang unik,” katanya.

Manakala, Nadine Ann Thomas berkata filem Nasi Lemak 2.0 berunsurkan lawak ringan, yang diselit dengan pesanan penting buat semua rakyat Malaysia.

“Dalam gelak tawa, Nasi Lemak 2.0 membuktikan kami saling memerlukan ke arah menjadikan Malaysia yang lebih hebat!

“Lawak yang diketengahkan oleh filem ini adalah cara yang baik untuk ketengahkan mesej penting ini kepada semua rakyat Malaysia dan saya turut bangga menjadi sebahagian Nasi Lemak 2.0 yang meraikan keistimewaan kami sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Filem Nasi Lemak 2.0 yang mengisahkan tentang seorang tukang masak yang mencari identitinya melalui masakan. Filem ini akan di tayangkan pada Khamis ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan