Kereta ‘Raya’ Proton Inspira Untuk Pendengar Bertuah Suria FM

Diterbitkan: Ahad, 28 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zizi (kiri), Shiera dan Halim memeriahkan program Jom Balik Raya anjuran Suria FM.
Zizi (kiri), Shiera dan Halim memeriahkan program Jom Balik Raya anjuran Suria FM.

PETALING JAYA: Pendengar bertuah Suria FM berpeluang memenangi kereta Proton Inspira sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Kempen tersebut berlangsung selama sebulan bermula Isnin ini, di mana hanya sebuah kereta yang bakal direbut oleh pendengar-pendengar Suria FM dengan tajaan Proton Holdings Bhd.

“Bermula Isnin ini selama sebulan, pendengar-pendengar Suria FM boleh menyertai kempen untuk memenangi sebuah kereta Proton Inspira. Selain itu mereka juga berpeluang memenangi hadiah saguhati menarik.

“Jadi, ikuti dan dengar Suria FM untuk mengetahui maklumat tentang cara menyertai kempen tersebut,” kata Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah ketika ditemui di program Jom Balik Raya Suria FM bersama Safi di Mydin Sinar Kota, Kuala Lumpur, Sabtu.

Program menarik lain yang bakal menyusul selepas Hari Raya Aidilfitri ini juga adalah ‘Konsert Kemuncak Raya Suria FM’ pada 1 Oktober ini di Dataran Putrajaya bermula pukul 8 malam.

“Kami akan menganjurkan karnival sempena konsert tersebut bermula 12 tengah hari dan pada sebelah malam akan berlangsung konsert yang disertai oleh 15 penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Hattan, kumpulan Hujan, Ning Baizura dan Adira,” kata Yusri lagi.

Menyentuh tentang program ‘Jom Balik Raya’, seramai 96 pendengar bertuah dihantar ke kampung masing-masing dengan menaiki tiga buah bas yang disewa khas ke tiga destinasi iaitu Kota Bharu, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu.

Di samping itu, mereka turut menerima duit raya RM50 dan barangan dari Safi. Kempen tersebut bermula sebelum Ramadan di mana pendengar harus membuat pembelian ubat gigi Safi bernilai RM5 ke atas di Mydin dan menyertakan resit pembelian pada borang penyertaan seterusnya melengkapkan slogan tidak melebihi 20 patah perkataan dan memenangi maksimum lima tiket bas balik kampung.

Antara penyampai radio yang turut hadir menyerikan program itu adalah Halim Othman, Zizi, Shiera, Myra serta penyanyi Shila Amzah selaku Duta Safi Balqis dan penyanyi Shazroul.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan