'Bunohan' Ditayangkan Di Festival Filem Toronto

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zahiril Adzim melakonkan watak utama dalam Bunohan.
Zahiril Adzim melakonkan watak utama dalam Bunohan.

PETALING JAYA: Filem aksi-drama yang dinanti-nantikan, Bunohan akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto ke-36 (TIFF) sebagai tayangan perdana di Amerika Utara pada 8 hingga 18 September ini.

Bunohan dipilih secara rasmi untuk festival ini dalam seksyen Discovery yang memaparkan filem-filem daripada pembikin-pembikin filem yang meningkat naik dari seluruh dunia.

Menurut pengatur cara kepada TIFF, Giovanna Fulvi: "Sekali pandang, ia realistik dan bergaya. Bunohan adalah filem yang mempunyai kuasanya tersendiri. Arahan Dain Said yang mantap, menjamin persembahan yang kuat daripada barisan pelakonnya terdiri daripada kesemua lelaki,” katanya.

Selain itu, Dain berkata, Bunohan telah berjaya mendapat pengedaran antarabangsa bersama Universal Pictures untuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

"Ini adalah berita gembira. Saya benar-benar tidak mengharapkan apa-apa tetapi sekarang ia menjadi kenyataan,” katanya yang sedang menyiapkan proses akhir filemnya di Bangkok sebelum dihantar ke Toronto.

Filem ini dibintangi oleh pelakon Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim, yang turut dibantu oleh Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Amerul Affendi, Hushairy Hussein dan Jimmy Lor, model Tengku Azura dan pengarah indie Ho Yuhang.

Ia ditulis dan diarahkan oleh Dain Said dan diterbitkan oleh Nandita Solomon. Tim Kwok dari Entertainment Convergence pula bertindak sebagai Penerbit Bersama. Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain sendiri dan diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan