Kilafairy Tidak Lagi Bersama KRU

Diterbitkan: Sabtu, 20 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kilafairy, yang sebelum ini bernaung di bawah pengurusan KRU Studios, membuat keputusan keluar daripada syarikat tersebut selepas setahun bersama.

Menurut Kilafairy, keputusan tersebut dibuat berikutan kontraknya dengan pihak KRU sudah tamat dan dia kini lebih selesa menguruskan kerjaya sendiri.

"Memang saya mengikat kontrak selama setahun dengan KRU dan sepanjang setahun tersebut, saya diberi projek berlakon dalam filem Karak.

"Selain itu, saya dan pihak KRU juga merancang untuk menghasilkan beberapa lagu untuk saya, tetapi mungkin kerana suara saya tidak sesuai dengan lagu-lagu yang dicipta, maka perancangan itu tidak menjadi," kata anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu.

Kilafairy juga menegaskan bahawa dia dan pihak KRU tidak mempunyai sebarang masalah dalaman, cuma dia ingin membawa haluan sendiri dalam bidang lakonan serta nyanyian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, pihaknya menghormati dengan keputusan Kilafairy dan ingin bekerjasama dengan pelakon jelita itu pada masa akan datang nanti.

"Memang kami ada beberapa perancangan untuk dia yang ingin mempunyai sebuah “single” lagu baru.

"Bagaimanapun, selepas Kilafairy menyanyikan beberapa lagu ciptaan Edry, kami dapati, suaranya kurang sesuai dengan lagu tersebut dan saya nampak, dia meminati muzik Bollywood.

"Sayang sekali, pihak kami tidak dapat menghasilkan lagu yang sesuai untuk dia, sebab itu kami cuba memberi pendedahan kepada filem pula," jelas Norman.

Tambah Norman, dia berharap agar Kilafairy dapat menguruskan kerjaya seninya dengan baik selain mendapatkan khidmat nasihat orang yang lebih berpengalaman dahulu sebelum membuat keputusan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan