Eman Manan Rasa Pelik Asyik Dapat Watak Utama

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Eman Manan teruja bawa watak kecil. - Foto BRIAN MOH
Eman Manan teruja bawa watak kecil. - Foto BRIAN MOH

PETALING JAYA: Pelakon berkarisma Eman Manan mengakui berasa teruja apabila ditawarkan watak kecil dan tambahan dalam filem komedi romantik terbaru, Karipap Karipap Cinta (KKC) arahan Othman Hafsham.

Kata Eman, selama hampir 30 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan tanah air, dia juga berasa pelik kerana penerbit dan pengarah drama dan filem hanya menawarkannya watak utama atau hero dan bukan watak-watak kecil atau sampingan dalam sesebuah produksi.

"Selama hampir 30 tahun bergelar pelakon, saya pun pelik kerana pihak penerbit dan pengarah drama atau filem tidak berani menawarkan watak kecil atau tambahan kepada saya sehinggalah Hafsham menghubungi untuk filem ini.

"Hakikatnya, saya cukup teruja kerana untuk pertama kalinya saya mendapat watak sampingan sebagai Datuk Razali Bunari. Ia watak yang ringan, bersahaja dan tidak sukar untuk dijayakan," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Apabila diusik adakah senario itu berlaku kerana kredibiliti yang terbina pada jenamanya sebagai pemenang pelakon lelaki terbaik sebanyak lima kali, Eman berkata, sebagai seorang pelakon adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menerima apa saja watak yang sesuai tidak kira besar atau kecil.

"Jika kita lihat di Holllywood atau industri filem luar, pelakon-pelakon besar pun berlakon watak-watak kecil atau undangan dalam filem-filem tertentu.

"Saya seorang pelakon yang akan menjayakan apa saja watak yang menarik jika kena pada caranya, tidak kiralah watak besar atau kecil," terangnya.

Bercerita tentang perancangannya selepas ini, Eman mengakui teringin untuk membintangi filem yang keluar daripada kepompong lazim industri seni tempatan.

"Kita lihat pembikinan filem pada hari ini, asyik filem yang lebih kurang sama saja diterbitkan dengan alasan untuk memenuhi selera penonton.

"Mana karyawan kita tahu bahawa filem sebegitu yang dimahukan penonton jika kita tidak mencuba untuk menawarkan karya-karya yang lebih besar dan menuntut kita berfikir seperti filem-filem luar.

"Sebab itu, saya sudah lama tidak berlakon filem kerana tiada yang berkenan dan berbeza," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan