Abot Lancar Album, Novel Selepas Aidilfitri

Diterbitkan: Sabtu, 13 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abot
Abot

PETALING JAYA: Setelah lama menyepi, penyanyi alternatif pertama Malaysia, Abot atau nama sebenar Norimah Muhammad akan melancarkan album berserta novel terbarunya berjudul My Happy Tree selepas Hari Raya Aidilfitri.

Jelas Abot, album yang memuatkan lima buah lagu baru dan novel tersebut merupakan produk untuk dia kembali semula dalam industri hiburan tanah air.

"Sudah terlalu lama saya menyepi dan ramai peminat yang bertanya tentang album dan novel baru.

"Album dan novel ini merupakan buah tangan saya untuk kembali semula memeriahkan dunia hiburan tanah air," katanya yang ditemui di rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Rabu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu “Kasih Mu” ini berkata album dan novel tersebut merupakan hasil karyanya sepanjang dia menyepikan diri dari industri hiburan.

"Novel dan album ini saling berkait ia menceritakan tentang kehidupan, ikatan kekeluargaan, kematian dan persahabatan.

"Ia adalah hasil karya saya selama menyepi beberapa tahun ini, saya harap dengan kemunculan album dan novel ini dapat memuaskan hati peminat saya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa terlalu lama hilang dari industri tanpa sebarang lagu baru, Abot berkata dia mempunyai rahsia di sebalik aktiviti tersebut.

"Saya bukan sengaja menyepikan diri tetapi ada peristiwa yang berlaku memaksa saya untuk berundur seketika dalam bidang ini.

"Insya-Allah, saya akan ceritakan perkara tersebut pada hari pelancaran album dan novel itu nanti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan