Shuhaimi Baba Bimbang Adegan Panas 'Tanda Putera' Dipotong

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pelakon filem Tenda Putera dan pengarah.
Barisan pelakon filem Tenda Putera dan pengarah.

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Datin Paduka Shuhaimi Baba mengakui bimbang dengan adegan panas yang terdapat dalam filem “Tanda Putera” tidak melepasi tapisan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Jelasnya, dia terpaksa mengambil risiko untuk meneruskan beberapa adegan sensitif dalam filem tersebut kerana ia merupakan nadi kepada keseluruhan filem yang mengisahkan perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.

"Ada beberapa adegan dalam filem ini yang saya bimbang tidak lepas LPFM kerana ia menyentuh peristiwa-peristiwa kontroversi pada zaman tersebut.

"Contohnya peristiwa 13 Mei yang berlaku dan perbalahan antara kaum yang telah menyebabkan negara menjadi kucar-kacir," katanya pada majlis doa selamat selesai penggambaran filem tersebut di sini, Selasa.

Turut hadir pada majlis itu ialah barisan artis seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Norman Hakim, Linda Hashim, dan Riezman Khuzaimie.

Tambah Shuhaimi, biarpun menyedari perkara tersebut agak sensitif dan berkemungkinan besar akan dipotong dia terpaksa melakukannya kerana tidak mahu mencacatkan filem berkenaan.

"Saya terpaksa ambil risiko memasukkan juga beberapa adegan yang dianggap sensitif ini kerana jika ia dipotong akan mencacatkan jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan,

"Lagi pula, pada saya peristiwa tersebut patut didedahkan kepada umum agar masyarakat faham bagaimana ia boleh berlaku dan tidak mengulanginya lagi," jelasnya.

Filem yang latar belakang era 70-an ini menceritakan kisah benar persahabatan antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa 13 Mei 1969.

Tambah Shuhaimi, filem tersebut hampir siap penggambaran dan pihaknya akan menyelesaikan babak terakhir di London selepas Hari Raya ini.

Filem terbitan Pesona Pictures ini dijangka berada di pawagam awal tahun depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan