Ramli MS Mahu Saman Penganjur Konsert Francissca Peter

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Ramli MS
Datuk Ramli MS

KUALA LUMPUR: Pengarah muzik, Datuk Ramli MS akan memfailkan tuntutan saman terhadap dua syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan Konsert Keunggulan Francissca Peter kerana gagal melunaskan bayaran penuh kepadanya termasuk pihak pemuzik.

Konsert berkenaan diadakan selama dua hari bermula 5 Februari lalu di Istana Budaya di sini.

Ramli berkata, pemuzik yang mengiringi konsert berkenaan hanya mendapat 75 peratus sahaja bayaran manakala upahnya sebagai pemimpin orkestra langsung tidak dibayar.

“Pada hari pertama konsert, pihak penganjur terlibat hanya melunaskan bayaran sebanyak 50 peratus sahaja untuk pemuzik-pemuzik saya seramai 45 orang manakala baki 25 peratus lagi telah dilunaskan selepas sepuluh hari. Itu pun apabila peguam saya berhubung dengan pihak mereka untuk menuntut bayaran berkenaan,” katanya.

Tambahnya, selepas pembayaran berkenaan dibuat, pihak berkenaan terus mendiamkan diri tanpa membuat pembayaran selanjutnya kepada mereka.

"Pihak penganjur sebelum ini sudah dimaklumkan mengenai cara saya bekerja iaitu mereka perlu membuat pembayaran keseluruhan kepada saya termasuk pemuzik pengiring sebelum konsert berlangsung.

“Malangnya mereka gagal memenuhi syarat itu menyebabkan konsert tersebut lewat 20 minit kerana perbincangan bayaran dengan pihak penganjur terpaksa dilakukan,” katanya.

Ramli menjelaskan, dia terpaksa meneruskan tugasnya memimpin konsert berkenaan apabila pihak penganjur berjanji untuk menyelesaikan bayaran pada hari kedua konsert tetapi mereka sebenarnya tidak melakukan perkara itu.

Katanya, antara alasan yang diberikan oleh kedua-dua pihak ialah mereka tidak mempunyai wang untuk melunaskan baki yang tertunggak

Ujarnya, masalah yang timbul itu menyebabkan dia diburu oleh pemuzik yang terlibat dalam konsert berkenaan kerana mereka mahu menuntut bayaran masing-masing sehingga menjejaskan reputasinya dalam bidang seni.

"Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku sepanjang pembabitan saya menjadi pengarah muzik. Saya merasakan apabila timbul masalah seperti ini, pada masa akan datang sudah tentu pemuzik yang dipanggil bekerja di bawah saya bimbang untuk melakukan kerjasama lagi,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan