Ryzal Tidak Malu Menumpang Kerana Tiada Lesen Memandu

Diterbitkan: Rabu, 10 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ryzal
Ryzal

KUALA LUMPUR: Pelakon Mohd. Shahrizal Jaafar atau Ryzal,29, tidak malu mengakui selama ini dia banyak menumpang kenderaan orang untuk ke mana-mana termasuklah ketika melakukan sesi fotografi dan juga penggambaran drama.

Ryzal berkata, sejak enam tahun terlibat dalam dunia seni, hatinya belum terbuka untuk membeli kenderaan sendiri selain tidak memiliki lesen memandu.

“Saya lebih selesa menumpang orang. Kalau hendak ke mana-mana sahaja saya akan minta kawan-kawan menemaninya. Cara itu lebih senang.

“Saya pun tidak dapat jawapan kenapa saya tidak mahu membeli kereta dan memiliki lesen memandu. Mungkin saya senang dengan cara ini,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Coronade Hotel bersama anak-anak yatim Nur Hamiah, Bangi, di sini.

Ryzal yang popular menerusi drama Jelatang berkata, jika pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah, dia lebih senang menaiki kepal terbang kerana rumahnya terletak berdekatan dengan lapangan terbang di bandar itu.

Ujarnya, ketika di kampung juga dia akan meminta ahli keluarga menghantar ke mana-mana sahaja dengan kenderaan mereka.

“Saya bukan tidak mampu untuk memiliki kenderaan sendiri tetapi hati saya tidak terbuka untuk itu. Mungkin saya agak fobia dengan peristiwa kemalangan yang kerap berlaku,” katanya.

Mengenai populariti dia yang tidak begitu menonjol Ryzal berkata, kisah mengenainya mungkin kurang dipaparkan menerusi akhbar dan majalah tempatan.

Katanya, kebanyakan drama lakonannya adalah untuk siaran di RTM seperti 24 Hari Sebelum Ku Jatuh Cinta, Buaian Kasih serta Maahad Al-Amin untuk siaran TV AlHijrah.

Menyedari aktiviti seni tidak menjamin pendapatan tetap, kata Ryzal dia telah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuklah menjual kek lapis Sarawak sepanjang bulan Ramadan ini.

Dalam masa yang sama juga Ryzal turut mempunyai “homestay” di Kampung Bohor, Alor Setar yang telah diusahakan bersama keluarga.

“Selain berlakon, dua bidang ini turut saya beri tumpuan kerana saya tidak mahu bergantung sepenuhnya dalam dunia seni untuk mencari rezeki walaupun ketika ini tawaran untuk saya tidak putus-putus,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menempah “homestay” milik keluarga Ryzal yang dikenali "Kekabu Homestay" itu bolehlah menghubungi Shahrul di talian 019-4574500.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan