AL Mawlid Tidak Tertekan Dengan 'Penghijrahan'

Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Al Mawlid yang dianggotai oleh (dari kiri) Zaff, Azan, Amer, Pot dan Lah.
Al Mawlid yang dianggotai oleh (dari kiri) Zaff, Azan, Amer, Pot dan Lah.

KUALA LUMPUR: Kumpulan kerohanian Al Mawlid yang dianggotai oleh Amer (Ruffedge), Azan (Ruffedge), Lah (V.E), Zaff (V.E) dan Pot (Innuendo) mengakui tidak pernah terbeban dengan penghijrahan mereka yang berbeza daripada kehidupan sebelum ini.

Kata Amer, perjuangan yang bertujuan untuk meluaskan lagi syiar Islam menerusi bakat suara dan lagu R&B serta selawat itu adalah ikhlas semata-mata demi agama dan Rasullullah.

Tambahan pula, setiap tindak-tanduk dan keputusan berkaitan bidang muzik yang mereka ceburi ini turut mendapat restu dan sokongan daripada guru-guru agama mereka.

"Tiada sebab kami perlu rasa terbeban atau tertekan dengan penghijrahan dan perubahan hari ini. Kami masih orang yang sama cuma lebih menitikberatkan adab dan perlakuan serta cuba untuk meluaskan syiar Islam menerusi bakat yang ada.

"Lagipun, apa yang lebih penting perjuangan ini mendapat restu dan sokongan daripada para guru agama kami," katanya yang mengakui jadual kumpulan itu penuh sepanjang Ramadan ini.

Diajak berkongsi tentang perubahan dalam kehidupan baru itu, Azan berkata, mereka masih mempelajari selok-belok adab dan memperbaiki apa juga kekurangan dan kealpaan terhadap tuntutan asas yang pernah diabaikan sebelum ini.

"Kami masih baru dalam penghijrahan ini. Banyak lagi yang perlu kami dalami. Penampilan dan gerak-geri kami masih tidak banyak berubah dan penuh senda gurau dan santai seperti dulu.

"Cuma apa yang kami perbaiki adalah kekurangan yang banyak kami tinggalkan sebelum ini seperti solat, ilmu agama dan adab. Mana yang kurang sebelum ini kami cuba tambahkan," katanya.

Walaupun masih belum mengeluarkan album pertama mereka, Amer dan Pot sudah memiliki lagu “single” masing-masing yang berinspirasi qasidah dan selawat iaitu Belaian Jiwa (Pot) dan Cahaya Seluruh Alam (Amer).

Sementara menantikan anggota yang lain tampil dengan “single” masing-masing, mereka selesa melayari kehidupan baru ini dengan perjuangan muzik yang serba sederhana.

"Buat masa ini, kami lebih selesa bergerak dengan lagu “single” masing-masing. Insya-Allah kalau sudah dapat kumpulkan lagu-lagu yang bersesuaian baru kami terbitkan album penuh,” akui Lah yang tidak menolak untuk memperjuangkan muzik Al Mawlid di peringkat komersial jika diberikan peluang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan