Ali (Kilauan Emas) Idam Duet Dengan Siti Nurhaliza

Diterbitkan: Selasa, 2 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mohd Ali Norpiah (dua dari kiri), menjuarai Pentas Akhir Kilauan Emas Astro.
Mohd Ali Norpiah (dua dari kiri), menjuarai Pentas Akhir Kilauan Emas Astro.

PETALING JAYA: Juara Kilauan Emas, Mohd Ali Norpiah Mohd Johar, 46, berhasrat untuk menghasilkan lagu duet dengan dua pupunya, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagaimanapun niat tersebut masih belum diputuskan kepada wanita itu melainkan cakap-cakap mulut yang diajukan kepada ibu Siti iaitu Siti Salmah Bachik.

"Saya dan Datuk Siti Nurhaliza adalah dua pupu kerana ayah saya dan mak dia sepupu.

"Saya ada berjumpa dengan mak dia di Kuala Lipis sebelum ini. Jadi, keluarga dia tahu tentang impian saya ini dan jika tiada aral, saya mungkin akan berduet dengan dia," ujarnya kepada mStar Online.

Namun begitu, jelas Ali usul itu hanya cadangan dan dia enggan meletakkan apa-apa harapan kerana bimbang tidak menjadi.

"Saya hanya bercakap, kalau dapat baguslah tetapi kalau tak dapat pun tak mengapa.

"Mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri ini, baru saya akan merancang untuk mengembangkan karier seni ini," tambahnya yang nekad bergelar penyanyi sepenuh masa.

Sebelum ini, dia bekerja sebagai konsultan acara di syarikat sendiri iaitu Sinar Event Management & Consultant sejak enam tahun lalu.

"Jika karier saya menjadi terlalu sibuk, mungkin saya akan menutup syarikat lama dan menubuhkan Ali Entertainment.

"Buat masa sekarang, saya akan serahkan kepada pembantu saya untuk menguruskan Sinar jika saya terikat dengan jemputan nyanyian di majlis korporat atau acara tertentu," ujarnya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Menyentuh kepada wang kemenangan yang diraih sebanyak RM20,000, bapa kepada enam orang anak berusia antara 19 tahun hingga empat tahun ini akan mengagihkan wang tersebut untuk perbelanjaan pelajaran anak-anak dan selebihnya untuk disimpan.

Bercerita tentang pengalaman, kemenangan ini bukanlah yang pertamakali oleh Ali memandangkan dia pernah memenangi pertandingan Lagu Patriotik Pahang selama 10 berturut-turut dan banyak kali bergelar juara untuk pertandingan karaoke yang disertainya.

Dia yang juga pernah menyertai Bintang RTM 80-an tidak menganggap usia yang sudah lanjut menjadi penghalang untuk bergelar penyanyi.

"Saya rasa tiada masalah walaupun baru sekarang menempa kejayaan seperti ini," ujarnya.

Program realiti Kilauan Emas yang disiarkan di Astro Prima (saluran 105) pada Jumaat lalu itu turut menyaksikan naib juara yang disandang oleh Shamsiah Mohd Said dan memenangi wang tunai RM15,000, tempat ketiga Azhar Shariff (RM10,000) manakala tempat keempat Mohd Razip Kadir.

Azhar turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Polident dan menerima wang tunai RM5,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan