Mas Muharni Kagumi Safura Bawa Watak Pelacur

Diterbitkan: Sabtu, 16 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekian lama bergelar pelakon sejak lebih dua tahun lalu, baru sekarang Mas Normuharni Sheikhah Mohd. Sattar, 25, (Mas Muharni) berpeluang mendukung watak selain pelajar.

Menurutnya, dia akan memberikan kelainan dengan melakonkan watak seorang pelacur kelas atasan menerusi telefilem Sujud Di Sejadah terbitan RTM.

“Saya menjadikan pelakon Safura sebagai rujukan untuk menjiwai watak pelacur kelas atasan kerana sebelum ini dia pernah melakonkan watak tersebut dalam sebuah drama.

“Saya menonton semula drama lakonannya itu dari segi pergerakan dan cara bercakap di kalangan pelacur,” ujarnya kepada mStar Online.

Biarpun beranggapan seorang pelacur kelas atasan tidak semestinya perlu bergaya seksi, Mas tetap bersedia apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku bagi menjayakan watak tersebut.

“Saya tahu RTM mempunyai garis panduan pakaian yang ditetapkan. Walaupun saya cuba mengelak daripada berpakaian seksi, tetapi saya tidak kisah untuk melakukannya jika perlu dalam cerita ini,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Siti Maryam untuk TV AlHijrah.

Selepas selesai penggambaran Siti Maryam, Mas dijangka akan memasuki penggambaran Sujud Di Sejadah pula sebelum meneruskan penggambaran drama 13 episod Suara Banduan pada hujung bulan ini.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Sjundai ini akui berat badannya semakin menurun iaitu dari 50 kilogram (kg) kepada 46 kg selepas giat berkunjung ke gimnasium sejak dua bulan lalu tambahan pula dirinya kurang selera makan.

Sepanjang bulan Ramadan depan, Mas yang sedang menantikan kemunculan filem terbarunya, Senario The Movie Ops Pocot akan membantu rakannya menjual Roti John di Bazar Ramadhan sekitar Kinrara, Puchong.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan