Roslan Shah Ada Keluarga Angkat Di Setiap Negeri

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengacara Roslan Shah (gambar) berasa bertuah dan dihargai apabila mempunyai keluarga angkat di setiap negeri.

Katanya, apabila dia mempunyai kerja dan bercuti di negeri tertentu dia akan singgah di rumah keluarga angkatnya.

“Saya rasa teruja sebab mak angkat saya sangat menghargai saya. Hubungan kami sangat akrab dan saya akan menghubungi mereka melalui telefon atau Facebook.

“Jika saya sempat singgah ke rumah mereka, mak angkat saya akan menghidangkan makanan yang sedap-sedap dan ada juga yang membawa saya keluar bersiar-siar bersama-sama,” ceritanya kepada mStar Online.

Dalam seronok bercerita tentang aktiviti yang dilakukan dengan keluarga angkatnya, tiba-tiba Roslan terkenangkan kisah sedih yang menimpa salah seorang ahli keluarga angkatnya.

“Saya baru kehilangan nenek angkat yang begitu baik dan disayangi pada dua tahun lalu. Bila dikenang semula kenangan kami bersama-sama, mesti saya akan rasa sedih.

“Bayangkan, semua keluarga angkat saya melayan saya dengan baik sehingga kadangkala mengubat rindu saya pada keluarga di kampung,” ujarnya lagi.

Roslan yang masih mempunyai kedua ibu dan bapa di Singapura bagaimanapun tidak pernah berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga angkatnya kerana akan menghabiskan masa dengan keluarga sendiri.

Tetapi apabila sesekali mempunyai peluang bertemu dengan keluarga angkat, dia tidak lokek menghulurkan sumbangan sebagai tanda berterima kasih kepada mereka.

Selain itu, pertemuannya dengan keluarga angkat turut mengajar Roslan untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah di samping menghormati sesama manusia.

Roslan turut dikenali sebagai penyanyi dan pelakon. Antara lakonannya adalah drama Mabuk Estrogen, Darling, Paku Di Dinding Hati, Dayang Menanti, Seri Anggerik Mawar Desa dan sitkom Otai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan