Memey Semakin Berdebar Tunggu 24 September

Diterbitkan: Jumaat, 8 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasangan selebriti Memey Suhaiza Suhaimi dan Norman Hakim yang bakal mendirikan rumah tangga pada 24 September depan sedang sibuk membuat persiapan terakhir menjelang tarikh bersejarah itu.

Tambahnya, dia sedang menghabiskan penggambaran drama berjudul Adi Karya Azizah sebelum bercuti panjang bagi membuat persiapan majlis perkahwinan mereka.

"Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar dan hanya tinggal beberapa persiapan terakhir yang belum siap. Insya-Allah akhir bulan ini kad undangan perkahwinan kami akan diedarkan kepada semua.

"Saya sedang menghabiskan penggambaran drama Adi Karya Azizah selepas itu akan ke Bandung untuk membeli beberapa barang perkahwinan di sana," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Ketika ditanya tentang perasaannya menghitung tarikh keramat itu, kata Memey, dia berasa berdebar, takut dan bimbang terutama apabila menguruskan segala persiapan perkahwinan itu sendirian.

"Ini pengalaman pertama saya menguruskan majlis untuk diri sendiri, jadi macam-macam benda yang saya risaukan terutamanya untuk majlis di Kota Tinggi nanti.

"Saya pula sibuk dengan kerja dan sukar untuk balik ke kampung. Jadi emak yang terpaksa turun sini (Kuala Lumpur) untuk berbincang tentang majlis tersebut," katanya.

Dalam pada itu, majlis persandingannya yang bertemakan perkahwinan dalam taman moden itu mendapat khidmat Ezuwan Ismail sebagai pereka busana bagi majlis nikah, Hatta Dolmat untuk majlis persandingan dan Rizman Ruzaini bagi acara potong kek.

"Alhamdulillah terlalu ramai yang ingin menaja perkahwinan kami. Ia termasuk daripada segi pakaian, pelamin dan macam-macam lagi sehingga saya rasa serba salah pula untuk tidak menerimanya.

"Saya minta maaf ada yang terpaksa ditolak kerana saya tidak mahu majlis ini dibuat secara besar besaran, cukuplah secara sederhana dan meriah," katanya yang juga membuka majlis tersebut kepada peminatnya di sana.

Majlis persandingan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan pada 25 September manakala majlis sambut menantu di rumah pengantin lelaki pada keesokan harinya di Wangsa Maju, dekat sini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan