Sheila Majid Utamakan Keluarga

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Sheila Majid
Datuk Sheila Majid

PUNYAI aura tersendiri sebagai penyanyi kelas pertama di Malaysia, ratu jaz negara Datuk Sheila Majid mengakui bukan mudah untuk dia sampai ke tahap tersebut.

Tempoh 25 tahun berada dalam industri seni banyak mengajarnya untuk terus berusaha dan memperbaiki diri sehingga menjadi seorang penghibur tersohor negara.

Katanya, untuk mencapai ke tahap apa yang dimiliki sekarang memerlukan perancangan yang teliti serta pengurusan yang cekap.

"Alhamdulillah strategi yang diatur selama ini membawa saya ke tahap ini sekarang. Namun begitu saya akui saya bukan bekerja seorang diri.

"Selama 25 tahun saya dalam industri ini boleh diibaratkan sebuah perjalanan hidup yang sangat membuatkan saya teruja.

"Saya ada kumpulan yang menyokong perjalanan kerjaya saya sama ada dalam bidang nyanyian dan perniagaan," katanya.

Kata Sheila, biarpun sibuk dengan kerjaya sebagai penyanyi dan usahawan, namun dia sentiasa mengutamakan kehidupan peribadi dan keluarganya.

"Saya banyak habiskan masa bekerja di rumah kerana pejabat saya adalah di rumah. Dengan itu memudahkan saya untuk berada bersama keluarga.

"Lagi pula saya mempunyai kumpulan yang membantu saya terutamanya dalam hal perniagaan rangkaian produk kecantikan Jerneh By Sheila Majid," katanya.

Bercerita tentang produk berkenaan, dia mengakui perjalanannya agak perlahan kerana bagi memastikan kualiti produk tersebut dijaga dengan baik.

"Saya buat kosmetik ini bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Ketika pulang mengerjakan ibadah Haji, saya terfikir bagaimana untuk mencari produk yang dijamin halal. Daripada situ saya dapat idea untuk memudahkan masyarakat yang beragama Islam memperoleh produk yang tidak diragui kesuciannya," kata Sheila.

Dalam pada itu, Sheila memberitahu perancangannya untuk mengembangkan produk tersebut sehingga ke Timur Tengah dan negara-negara Islam yang lain.

"Namun begitu kita perlu memperkukuhkan kedudukannya di seluruh Malaysia terlebih dahulu," ujarnya yang kini menumpukan perhatian utama terhadap produk itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan