Notis Kenaikan Bayaran Perkhidmatan Astro Dianggap Tidak Sah - Rais

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

PETALING JAYA: Notis mengenai kenaikan bayaran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Astro kepada pelanggannya dianggap tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Bayaran perkhidmatan asas yang dikenakan oleh Astro kepada pelanggan sekarang tidak akan diubah, apa-apa pertambahan Astro perlu berunding dahulu dengan SKMM sebelum memutuskan untuk menaikkan caj perkhidmatan mereka," katanya.

Astro perlu mendapat kelulusan dari SKMM sebelum menaikkan harga perkhidmatan saluran televisyen berbayar mereka, kata Rais.

Kementerian akan berbincang dengan Astro mengenai isu tersebut, kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Malam Penghargaan Industri Filem 2011 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini malam ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim.

Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Sementara itu, mengenai perkembangan industri filem negara, beliau berkata KPKK tahun ini menerusi Finas telah memperuntukkan dana kira-kira RM15 juta untuk menjana filem kreatif seperti animasi dan sebagainya.

Selain itu, beliau akan mempertimbangkan untuk meminda Sekyen 6, Akta Finas. Menurut beliau, akta sedia ada menghalang Finas untuk maju ke depan dalam pembikinan filem.

Beliau, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan