'Rasuk' : Fouziah Gous Hadapi Kecederaan

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fouziah Gous
Fouziah Gous

PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous, 29, mengakui sanggup berhadapan dengan risiko dengan melakukan sendiri adegan-adegan berbahaya semata-mata untuk memberikan impak pada lakonannya dalam filem terbaru, Rasuk.

Kata Fouziah, selepas empat tahun bergelar pelakon sudah tiba masanya dia melakukan anjakan pada mutu lakonannya dengan menerima watak dan filem yang berlainan dan mencabar.

Walaupun berasa terlalu penat sepanjang pembikinan filem itu, Fouziah menganggap pengalaman tersebut memberikan kepuasan secara peribadi kepadanya.

"Buat pertama kalinya saya melakukan babak-babak berbahaya seperti menjatuhkan diri ke arah belakang tanpa sebarang alas atau tilam, memecahkan botol kaca dan memanjat tiang tanpa menggunakan pelakon aksi ngeri.

"Risiko tindakan itu apabila saya berdepan dengan kecederaan tulang belakang sejak dua tahun akibat pembikinan filem itu dan bersusah-payah untuk menjayakan watak wanita yang dirasuk.

"Semua itu saya lakukan demi memberikan impak pada lakonan dan perjalanan filem itu," katanya yang ditemui pada pratonton filem berkenaan di GSC One Utama, di sini, Selasa.

Selain Fouziah, filem seram itu turut membariskan Iqram Dinzly, Sidek Hussin dan Fauziah Nawi.

Filem Rasuk akan ditayangkan di 65 pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Jun ini.

Selain tayangan tempatan, filem arahan Baldev Singh itu juga bakal ditayangkan di Singapura (8 pawagam), Hyderabad, India (2), Iran (2) dan Jepun (2).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan