Tomok Mahu Kekal Imej Remaja Selepas Kahwin

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tomok bakal berkahwin pada 1 Julai ini di Kuala Lumpur. - Foto MOHD FAIHAN
Tomok bakal berkahwin pada 1 Julai ini di Kuala Lumpur. - Foto MOHD FAIHAN

PETALING JAYA: Penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 27, akui selesa mengekalkan imej keremajaannya walaupun selepas mendirikan rumah tangga yang di jadual pada 1 Julai depan.

Walaupun begitu, ujar Tomok, dia sebenarnya boleh menyesuaikan diri dengan sesuatu keadaan tidak hanya seperti remaja jika diperlukan.

“Saya rasa tak salah untuk mengekalkan imej seperti sekarang kerana peminat mengenali saya seperti ini,” ujarnya yang sedang sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan.

Tomok bakal bernikah dengan pramugari Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Rahayu Abbas, 32, pada 1 Julai ini, pukul 8 malam di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Sementara itu, pasangan ini akan melangsungkan tiga resepsi perkahwinan iaitu sebelah pihak perempuan di lokasi yang sama (2 Julai), majlis bersama-sama rakan media di Saloma Bistro, Kuala Lumpur (6 Julai) dan resepsi sebelah pihak lelaki di rumah keluarga Tomok di Alam Damai, Cheras (9 Julai).

Jelasnya, walaupun usianya muda lima tahun daripada pasangannya, namun mereka pandai menyesuaikan diri antara satu sama lain.

Lebih penting, kata Tomok bakal isterinya memahami kerjaya seninya yang tidak tentu masa selain berjaya melalui dugaan selama lapan tahun menjalinkan hubungan cinta.

“Saya sudah bersedia untuk melalui alam perkahwinan dan menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami. Saya rasa, apabila sudah mempunyai teman hidup mungkin pemikiran dan cara hidup saya menjadi lebih matang,” katanya.

Tambah penyanyi yang sedang popular dengan lagu Bagaikan Bidadari dan Berlari ini, usia tidak menjadi penghalang sebaliknya mereka boleh bertolak ansur.

Menyentuh tentang persiapan perkahwinan seperti baju pengantin, pelamin dan hantaran telah siap 70 peratus.

“Nasib baik saya telah membeli dan menguruskan persiapan ini bermula akhir tahun lepas. Dengan bantuan semua pihak termasuk keluarga, segala-galanya dilakukan sedikit demi sedikit.

“Jadi, tidaklah pening kepala untuk memikirkan semuanya serentak. Saya harap majlis itu akan berlangsung dengan baik nanti,” katanya yang dalam masa sama sibuk dengan persembahan dan mempromosikan lagu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan