Penerbit Filem Bukan Berbahasa Malaysia Peroleh Insentif

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Industri filem tempatan, khususnya penerbit filem bukan berbahasa Malaysia, mendapat semangat baru apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif cukai seperti yang dinikmati oleh penerbit filem berbahasa Malaysia atau filem Melayu.

Sebelum ini, filem keluaran tempatan diklasifikasikan sebagai filem "asing", melainkan 60 peratus dialognya menggunakan bahasa Malaysia.

Kini, istilah "filem tempatan" diberi definisi baru apabila ia meliputi karya tempatan yang menggunakan bahasa selain bahasa Malaysia dan filem seperti itu juga akan menikmati keistimewaan seperti yang diperuntukkan kepada filem Melayu, termasuk syarat wajib tayang selama dua minggu di pawagam serta insentif cukai.

Berikutan itu, karya tempatan kini diklasifikasikan sebagai "filem tempatan" jika sekurang-kurangnya separuh daripada sesuatu filem itu dihasilkan di Malaysia dan sekurang-kurangnya 51 hak ciptanya dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Tan Kheng Seong (gambar), pengarah filem Ice Kacang Puppy Love, sebuah filem Cina terbitan tempatan yang mendapat sambutan hangat dan menerima rebat cukai RM740,000 kerana kejayaan karya kreatifnya itu, berkata perubahan yang dibuat terhadap peraturan itu merupakan suatu ganjaran besar kepada industri filem tempatan.

Pada mulanya, filem tempatan seperti Ice Kacang Puppy Love, yang menampilkan kisah persahabatan semasa zaman kanak-kanak di sebuah perkampungan di Tronoh, Perak, tidak layak mendapat sebarang rebat cukai atau insentif walaupun ia mencapai box-office dengan meraih jualan tiket bernilai RM3.7 juta.

Bagaimanapun, bagi mengiktiraf ketinggian bakat dan kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini, kerajaan, melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, mengkaji semula peraturan sedia ada dan membuat beberapa perubahan untuk menambah baik insentif yang diberi kepada seluruh industri perfileman tempatan.

"Ini memang banyak membantu. Sejak kerajaan membenarkan filem tempatan menikmati rebat cukai hiburan, industri ini menjadi semakin maju," kata Tan, yang lebih popular dengan nama "Ah Niu" dan dikenali ramai sebagai penyanyi dan penggubah lagu Mandarin serta Hokkien.

Langkah kerajaan itu mendapat pujian ramai pengarah filem tempatan kerana kata mereka ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan industri kreatif di negara ini.

Keputusan kerajaan itu mendorong beberapa penerbit menghasilkan filem baru seperti Petaling Street Warrior dan 3X Trouble, manakala beberapa penerbit lain pula menggabungkan bakat tempatan dan asing untuk memastikan filem terbitan mereka turut mendapat sambutan di luar negara.

Selain filem Ice Kacang Puppy Love, beberapa karya tempatan turut diberi rebat cukai, termasuk Tiger Woohoo dan Lelio Po Po, manakala rebat cukai yang diberi itu dikatakan mencapai jumlah hampir RM2 juta.

Untuk filem tempatan yang ditayangkan mulai tahun ini, filem yang meraih kutipan hingga RM6 juta layak menikmati skim insentif baru bagi menggantikan Skim Rebat Cukai Hiburan.

Skim baru ini, yang dikenali sebagai Bayaran Insentif Tayangan Filem, menggunakan jumlah jualan tiket sebagai asas untuk menentukan jumlah bayaran insentif yng layak diterima penerbitnya.

"Penerbit filem perlu mengemukakan bukti jualan tiket kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk tujuan pengesahan, sebelum bayaran ini dibuat," kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang menyelaraskan usaha untuk menyediakan insentif lebih baik kepada industri filem tempatan itu.

Sehingga kini, 13 penerbit telah menerima insentif berkenaan untuk filem masing-masing, termasuk bagi filem berjudul Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Lagenda Budak Setan, Kapoww, Estet, 2 Alam, Aku Tak Bodoh, Janin, Aku Masih Dara, Damping Malam, Ice Kacang Puppy Love, Lelio Po Po, Tiger Woohoo, Appalam dan Crayon.

Melalui skim baru itu, filem cereka yang merih jualan tiket sehingga RM2 juta, layak menerima bayaran insentif RM200,000, manakala filem yang mencatat jualan tiket antara RM2 juta dan RM4 juta, layak menerima bayaran insentif 10 peratus daripada nilai jualan tiket.

Filem cereka yang mencatat jualan tiket antara RM4 juta dan RM6 juta akan diberi bayaran insentif bernilai lima peratus daripada nilai jualan tiket, manakala filem yang meraih jualan tiket lebih RM6 juta tidak layak menerima insentif tersebut.

Dr Rais berkata skim rebat cukai hiburan tidak lagi memberi kesan berikutan perubahan keadaan ekonomi, manakala kerajaan negeri yang menerima pakai skim itu pada 1987 pula telah berhenti daripada membayar rebat cukai sejak tahun 2000.

Kerajaan Kelantan dan Perlis tidak melaksanakan skim itu kerana negeri berkenaan tidak mempunyai pawagam, manakala kerajaan Sabah tidak mengenakan cukai hiburan bagi filem yang ditayangkan di negeri itu.

Pada tahun lepas sahaja, 29 filem cereka tempatan meraih RM76.02 juta melalui jualan tiket dan menerima rebat cukai hiburan berjumlah RM12.83 juta daripada kerajaan. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan