KRU Umum Bersara Buat Persembahan

Diterbitkan: Rabu, 8 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KRU
KRU

CYBERJAYA: Kumpulan adik beradik, KRU, iaitu Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry, membuat keputusan muktamad untuk tidak lagi mengadakan pertunjukan pentas selepas 19 tahun terlibat dalam dunia seni.

Menurut abang sulungnya Norman, keputusan itu dibuat kerana mereka merasakan tibalah masanya untuk memberi peluang kepada artis-artis baru lain menonjol selain terpaksa memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

"Nak ikutkan memang dah lama kami berhenti daripada membuat persembahan, cuma ini adalah pengumuman secara rasmi daripada kami.

"Keputusan ini juga dibuat kerana kami ingin memberi ruang kepada penyanyi-penyanyi baru pula dan kami sebagai orang lama, akan membantu mereka untuk sama-sama memperjuangkan industri muzik tempatan," katanya.

Selain itu kata Edry pula, dengan kesibukan mengendalikan syarikat KRU Studios, mereka juga tidak mampu lagi mengadakan konsert-konsert jelajah seperti yang pernah dilakukan dahulu.

"Justeru itu jika dahulu kami perjuangkan untuk KRU dan keluarga, kini sudah tiba masanya kami berbakti memperjuangkan industri seni demi masyarakat pula berdasarkan pengalaman yang ada," ujar Edry.

Tambah Edry, walaupun tidak lagi mengadakan persembahan pentas, KRU tetap akan mengeluarkan single lagu terbaru pada masa akan datang.

Pada Isnin lalu, KRU telah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke 19 tahun di KRU Studios di sini dan turut mengumumkan judul filem baru yang bakal diterbitkan syarikat berkenaan.

Enam filem tersebut adalah Cinta Kura-Kura, King Kapchai, 29 Februari, Ular serta dua filem antarabangsa, Vikingdom dan Ribbit.

Sementara itu Yusry pula berkata, dia gembira kini KRU Studios semakin produktif dalam penerbitan filem dan cuba menembusi pasaran antarabangsa.

"Alhamdulillah, kami cuba menerbitkan filem-filem yang berkualiti buat industri filem kita.

"Setakat ini, antara enam filem tersebut, Vikingdom menggunakan kos bajet yang paling besar, malah lebih mahal daripada filem Hikayat Merong Mahawangsa (RM8 juta)," katanya.

Bagaimanapun, selepas kejayaan filem Karak yang meraih kutipan sebanyak RM3.8 juta (masih ditayangkan) setakat ini, filem Cinta Kura-Kura bakal menyusul pula dan dijangka akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan