Cinta Anang & Ashanty Terbit Kerana 'Jodohku'

Diterbitkan: Rabu, 8 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anang dan Ashanty akui makin serasi sejak bekerjasama dalam album duet Jodohku. - Foto RAJA FAISAL
Anang dan Ashanty akui makin serasi sejak bekerjasama dalam album duet Jodohku. - Foto RAJA FAISAL

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Anang Hermansyah, 42, (Anang) mengakui kolaborasinya dengan penyanyi Ashanty, 27, dalam album duet terbaru, Jodohku telah melahirkan bibit-bibit cinta antara mereka sejak dua bulan yang lalu.

Kata bekas suami kepada penyanyi Krisdayanti itu, hubungannya dengan Ashanty yang bermula atas dasar profesional bertukar menjadi perasaan cinta kerana mereka kerap bersama sepanjang proses pembikinan dan promosi album tersebut.

"Pada awalnya, kami hanyalah teman duet dalam projek ini dan semuanya atas dasar profesional saja.

"Saya bekerjasama kerana Ashanty memiliki suara yang bagus, cantik dan paling penting dia sudi menerima pelawaan saya untuk berduet.

"Tak disangka pula keakraban kami yang kerap bersama sepanjang proses pembikinan dan promosi album ini melahirkan perasaan cinta," katanya yang ditemui pada pelancaran album itu di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.

Tambah Anang, ciri-ciri kesederhanaan dan ketulusan yang dimiliki oleh wanita itu lantas menawan hatinya yang sememangnya kesunyian selepas berpisah dengan Krisdayanti.

"Dia seorang wanita yang pintar, tulus dan mengambil berat. Kesederhanaan yang dimilikinya itu membuatkan saya terpikat.

"Anak-anak dan keluarga kami juga merestui hubungan ini dan saya akui sangat gembira dan bahagia sekarang," katanya.

Ditanya pula tentang perancangannya untuk melamar Ashanty seperti yang heboh diperkatakan di portal-portal hiburan di Indonesia kebelakangan ini, Anang memberitahu, dia sememangnya merancang untuk mengahwini wanita itu seandainya ada jodoh di antara mereka.

"Memang ada perancangan ke arah lebih serius tapi kita hanya mampu merancang. Selebihnya harus berserah pada kuasa Tuhan," katanya.

Dalam pada itu, album duet berkenaan memuatkan enam buah lagu baru iaitu Menentukan Hati, Kekuatan Hati, Jodohku, Cinta Ini Merubahku, Sumpah Mati dan Bidadari Pujaan, selain tiga lagu lama yang diberi nafas baru iaitu Makin Aku Cinta, Berartinya Dirimu dan Rindu Ini.

Album terbitan Tropic Jaya itu akan berada di pasaran tempatan bermula minggu depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan