Awi Rafael Terpaksa Tidur Tepi Pantai Gold Coast

Diterbitkan: Khamis, 2 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Awi Rafael. Foto - Awi Rafael Fanpage
Awi Rafael. Foto - Awi Rafael Fanpage

PETALING JAYA: Penyanyi yang popular dengan lagu Pulanglah, Awi Rafael, 25, pernah bermalam di tepi pantai Gold Coast, Australia selama empat hari kerana tiada tempat berteduh pada awal tahun lalu.

Menurut Awi, ketika itu dia baru sahaja tiba di Gold Coast untuk mencuba nasib menjadi penyanyi jalanan (basking).

"Hidup saya hanya dengan muzik dan menjadi orang perantauan di sana (Australia) selama setahun bukannya mudah. Terlalu banyak pancaroba yang harus dilalui.

"Bayangkan, ketika saya tiba di sana, duit tidak mencukupi dan jalan terbaik adalah tidur di tepi pantai Gold Coast bertemankan beg dan sejadah sebagai selimut," katanya yang ditemui di Menara Star, di sini, Rabu.

Tambah Awi, keadaan itu membuatkan dia berasa sebak dan mula merindui keluarga di Malaysia.

Walaupun terpaksa melalui pengalaman pahit di negara orang, semangat penyanyi kelahiran Singapura ini tidak pernah patah mahupun menyesal dengan keputusannya yang ingin mencari pengalaman muzik di negara orang.

"Saya bukannya jenis yang mudah menyesal dengan perkara-perkara yang dilakukan kerana semua itu pengalaman hidup yang mampu membuatkan kita lebih matang.

"Bagi saya, selagi berlakunya dugaan dan cabaran saya akan laluinya sebaik mungkin dengan bantuan semangat dan keimanan dalam diri," tutur bekas vokalis kumpulan Singapura, Bumi Band ini.

Bagaimanapun, Awi bersyukur pengalaman yang dilaluinya itu membuatkan dia kini semakin berjaya dalam industri muzik tempatan.

"Saya juga bersyukur kepada Allah kerana membuka peluang kejayaan ini. Saya harap, muzik saya dapat berkembang ke luar negara pula, Insya-Allah," katanya ringkas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan