Haiza Hargai Jadi Penyanyi Walaupun Gagal Dapat Anugerah

Diterbitkan: Rabu, 25 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Haiza
Haiza

PETALING JAYA: Penyanyi Haiza mengakui pengalaman 16 tahun sebagai artis merupakan pencapaian paling bernilai buat dirinya biarpun tidak pernah memenangi sebarang anugerah dalam industri seni.

Katanya, pengalaman tersebut telah mematangkan dirinya untuk terus bertahan dalam bidang ini sehingga sekarang.

"Saya mengaku tidak pernah menerima sebarang anugerah dalam dunia hiburan tetapi bagi saya pengalaman selama 16 tahun itu adalah anugerah paling bernilai buat diri saya.

"Bukan senang untuk berada dalam industri ini dan diterima peminat, malah saya bersyukur rezeki saya masih ada biarpun kurang publisiti daripada pihak media," katanya.

Haiza menyambut ulang tahun ke 16 penglibatannya sebagai penyanyi dan memperkenalkan single terbarunya berjudul Marilah Padaku di Hotel UiTM, Shah Alam, dekat sini pada Sabtu lalu.

Majlis yang dihadiri lebih 200 tetamu itu dianjurkan bertujuan menghargai peminat, rakan media dan rakan artis yang banyak membantu kerjayanya selama ini.

Selain itu, Haiza turut mengakui banyak halangan dan dugaan yang ditempuhi sejak melangkah kaki ke bidang seni.

"Sejak tahun 1995 saya masuk ke bidang nyanyian ini saya sudah lalui macam-macam dugaan tapi saya percaya setiap dugaan itu adalah pelajaran yang mematangkan.

"Bagi saya apa yang penting ialah keikhlasan kita menyanyi bukan kerana bayaran semata-mata tetapi kerana minat," katanya.

Bercerita tentang single terbarunya, Haiza memberitahu dia mahu mencuba genre Pop Urban yang berbeza dari biasa dibawa selama ini iaitu Dangdut.

"Saya mahu cuba sesuatu yang baru, kalau pelakon boleh memainkan berbagai watak dan karakter, begitu juga penyanyi.

"Tidak salah rasanya saya bawa lagu genre lain dari dangdut sebab di setiap persembahan saya sering bawakan lagu berbagai genre," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan