Marcell Rancang Dapat Anak Tahun Depan

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Marcell rancang untuk mendapatkan anak dengan Rima Melati pada tahun depan. - Foto NORAFIFI EHSAN
Marcell rancang untuk mendapatkan anak dengan Rima Melati pada tahun depan. - Foto NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan (Marcell), 33, mengakui kesibukannya dan isteri yang juga selebriti Rima Melati dengan komitmen kerja menyebabkan perancangan mereka untuk mendapatkan anak tertangguh sejak berkahwin pada 2009.

Kata Marcell, walaupun belum memiliki anak sendiri daripada perkahwinan itu, mereka menjalani kehidupan yang bahagia di samping dua anak lelaki mereka, Keenan Avalokita Kirana daripada perkahwinan terdahulu Marcell dan Edga Ian Cook (perkahwinan terdahulu Rima).

"Kami bahagia dan bercinta setiap hari. Lagipun kami bahagia dengan kehadiran dua anak lelaki kami. Bukan tidak mahu anak sendiri tetapi kami sibuk dengan kerja masing-masing.

"Sebelum ini saya sibuk dengan proses produksi album terbaru dan selepas ini pasti sibuk dengan sesi promosinya pula.

"Rima juga sibuk dengan penggambaran drama bersiri dan program bual bicara dan masakan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya And the story continues... di Hard Rock Cafe, di sini, Isnin.

Namun demikian, penyanyi yang popular dengan lagu Semusim ini tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan anak pada tahun depan.

"Mungkin kami akan merancang untuk mendapatkan anak pada tahun depan kerana tahun ini saya dan Rima sangat sibuk dengan kerja masing-masing," jelasnya.

Menyentuh tentang album kelimanya itu, Marcell berkata, album tersebut begitu istimewa kerana ia bukan saja dihasilkan di bawah label baru iaitu E-Motion Entertainment, malah kesemua 11 trek lagu dalam album itu juga disusun oleh komposer tersohor Indonesia, Andy Rianto.

"Penghasilan album ini membuktikan perjalanan cerita cinta dalam lagu-lagu saya tidak pernah berakhir dan terus berlanjutan.

"Peluang untuk bekerjasama dengan komposer sebesar nama Andy Rianto merupakan satu keistimewaan dalam album kali ini," katanya yang memakan masa selama satu tahun setengah untuk menyiapkan album berkenaan.

Sejak menceburi bidang seni pada 2002, Marcell pernah menghasilkan empat buah album sebelum ini termasuklah Marcell (2003), Marcell Repack (2004), Denganmu (2006) dan Hidup (2008).

Album kelima jejaka dari Bandung, Indonesia ini bakal berada di pasaran tempatan pada awal Jun depan keluaran Tropic Jaya Entertainment.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan