Gambit Akui Tidak Beri Komitmen Terhadap KMJ

Diterbitkan: Isnin, 16 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gambit Saifullah
Gambit Saifullah

PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah mengakui tidak dapat memberi komitmen terhadap latihan teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa (KMJ)yang bakal di pentaskan pada 27 Mei hingga 5 Jun ini sehingga namanya terpaksa digugurkan oleh pihak produksi.

Gambit berkata, terlalu sibuk dengan projek milik produksinya membuatkan dia gagal untuk menyertai sesi latihan yang dilakukan sepanjang bulan Mei ini.

“Saya terima keputusan mereka untuk menggugurkan saya dalam teater tersebut jika itu adalah yang terbaik buat teater itu.

“Saya mengaku tidak dapat memberi komitmen dan fokus terhadap sesi latihan tersebut kerana mempunyai bebanan tugas lain iaitu ingin menyiapkan klip video, penyanyi Prima Yinn untuk pasaran luar negara,” katanya kepada mStar online, di sini, Ahad.

Gambit diminta mengulas tentang penggugurannya dari produksi teater muzikal KMJ kerana kurang bersedia dan tidak beri komitmen pada keseluruhan produksi.

Perkara tersebut juga telah menyebabkan tempatnya digantikan dengan pelakon baru Arjee Lee.

Sementara itu, dia juga mengaku mempunyai komitmen terhadap sebuah telefilem dan ditambah dengan beberapa masalah peribadi menyebabkannya hilang fokus.

“Bulan ini banyak perkara yang mengganggu saya termasuk masalah peribadi yang menyebabkan saya tidak dapat untuk menumpukan perhatian pada sesi latihan.

“Saya juga terlibat dengan telefilem Perempuan Bergaun Pengantin yang dijangkakan habis penggambaran pada 18 Mei ini,” katanya.

Ketika ditanya tentang kesediaan berlakon teater, Gambit menganggap dirinya mampu untuk melakukannya namun tidak mempunyai masa yang cukup untuk latihan yang panjang.

“Saya boleh berlakon teater dan sudah bersedia untuk itu cuma masa latihannya yang hampir setiap hari itu bertembung dengan jadual dan komitmen lain,

“Bagaimanapun, Insya-Allah jika diberi peluang di masa akan datang saya akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, proses keguguran tersebut dibuat secara baik melalui hasil perbincangan kedua-dua belah pihak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan