Tempelak Wartawan, Remy Ishak Akui Salah Faham

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Remy Ishak
Remy Ishak

KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak,29, menjelaskan dia tidak mahu masyarakat memberi persepsi negatif selepas tersiar beberapa laporan yang mengkritiknya termasuklah kejadian terbaru apabila dia dikatakan menempelak dua orang wartawan akhbar.

Remy berkata, dia tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan kejadian yang berlaku itu sekadar salah faham.

“Saya akui, ia hanyalah salah faham di antara saya dengan pihak media yang menemu bual saya.

“Mereka bertanya saya soalan dan saya menjawab dengan cara saya. Mungkin dia orang tidak biasa dengan saya dan saya pula jarang sekali berjumpa dengan mereka,” katanya semasa ditemui selepas previu filem Nur Kasih The Movie di KLCC di sini, Rabu.

Remy diminta mengulas laporan sebuah pojok menerusi akhbar mingguan Ahad lalu yang mengkritik perbuatannya kerana dikatakan telah meninggikan suara dengan dua orang wartawan.

Laporan itu menyebut semasa kejadian wartawan berkenaan cuba bergurau termasuklah mengusiknya dengan Tiz Zaqyah sebaliknya pelakon itu dikatakan mengambil serius gurauan tersebut termasuklah mengeluarkan kata-kata kurang enak kepada mereka.

Remy berkata, selepas kejadian itu dia telah menghantar mesej kepada wartawan berkenaan untuk memohon maaf sekiranya mereka terasa hati akibat insiden yang berlaku.

Katanya, peristiwa dan laporan itu turut menyebabkan dirinya tertekan dan bimbang masyarakat di luar sana akan memandang buruk dan menganggap perkara yang bukan-bukan terhadapnya.

“Saya mengaku saya begitu “down” sangat dengan peristiwa itu. Saya tak mahu orang anggap saya yang bukan-bukan. Kalau kita yang duduk dalam industri hiburan ni lainlah... kita boleh faham. Orang luar, mereka tak faham situasi sebenar,” katanya.

Remy menjelaskan dia menganggap kontroversi yang berlaku itu hanyalah cabaran yang harus dilaluinya sebagai seorang artis selain cuba untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Saya tak ambil serius hal ini tetapi saya akui, kontroversi turut mencacatkan perjalanan seni saya. Cuma saya tak mahu imej saya disalah anggap,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan