Konsert D'lloyd Imbas Kegilaan Tahun 1978

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anggota kumpulan D'lloyd pada sesi ramah mesra bersama media portal dan blogger di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Selasa. - Foto RICKY LAI
Anggota kumpulan D'lloyd pada sesi ramah mesra bersama media portal dan blogger di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Selasa. - Foto RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik legenda Indonesia D'lloyd menganggap Konsert Semalam Di Malaysia di Istana Budaya pada 6 hingga 8 Mei ini begitu bermakna kerana dapat mengimbas kenangan lama ketika mereka muncul di negara ini pada 1978.

Kata ketua kumpulan yang juga pemain gitarnya, Bartje Van Houten, peluang untuk mengadakan konsert di Malaysia selepas hampir 10 tahun mengingatkan mereka pada sambutan luar biasa peminat dalam sebuah konsert pada tahun tersebut.

"Kenangan itu cukup indah dan luar biasa. Kami masih teringat lagi ketika itu, pentas dikerumuni peminat fanatik. Pihak polis yang mengawal keselamatan pun tidak mampu menenangkan keterujaan peminat.

"Kami harap kunjungan kami pada kali ini dapat mengimbas semula kenangan-kenangan manis semua peminat setia D'lloyd selepas kali terakhir kami muncul hampir 10 tahun lalu," katanya.

Walaupun teruja untuk menghiburkan peminat sejati mereka, vokalisnya Syamsuar Hashim (Sam) tetap bimbang sama ada mereka mampu untuk menarik minat golongan muda di Malaysia.

"Mungkin sambutan di kalangan peminat yang seangkatan dengan usia kami, ia tiada masalah tetapi yang saya tertanya-tanya apakah D'lloyd mampu untuk menarik perhatian peminat generasi hari ini?

"Saya berharap ibu bapa yang datang ke konsert kami akan membawa anak-anak mereka. Daripada situ, mungkin generasi anak atau cucu dapat mengenali muzik kami," katanya.

Dalam konsert tersebut, D'lloyd yang dijangka menyampaikan 19 buah lagu akan turut menampilkan penyanyi veteran Datuk Ahmad Jais.

Iringan orkestra dalam konsert itu akan dipimpin komposer terkenal S. Atan.

Selain Sam dan Bartje, kumpulan yang mula aktif sejak 1969 ini turut dianggotai Yuhanny Fatmarida Susilo (Yuyun/flute), Chairul Daud (Khairul/dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Uce F Tekol (Tooto/bass).

Untuk pembelian tiket atau maklumat lanjut, sila layari laman web www.ticket2u.com atau hubungi talian 03-41478600, 019-3391445 dan 019-2757192.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan