Ibu Desak Fizz Fairuz Kahwini Almy Nadia

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fizz Fairuz masih belum merancang waktu yang sesuai untuk mengahwini kekasihnya, aktres Almy Nadia. - Foto AZMAN GHANI
Fizz Fairuz masih belum merancang waktu yang sesuai untuk mengahwini kekasihnya, aktres Almy Nadia. - Foto AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Aktor Fizz Fairuz mengakui ibunya turut mendesak agar dia mempercepatkan perkahwinannya dengan pelakon Almy Nadia.

Fizz berkata, perkara itu sudah beberapa kali berlaku kerana orang tuanya mahu melihat dia dan Almy agar berkahwin secepat mungkin.

"Sejujurnya, saya belum terfikir bila yang waktu paling sesuai untuk mengahwini Almy. Memang orang tua saya sudah bertanya beberapa kali tentang perkara itu.

"Cuma, buat masa ini kalau boleh saya ingin Almy mengembangkan lagi kerjaya lakonannya sebelum kami berkahwin," katanya yang ditemui selepas pratonton filem Nur Kasih The Movie (NKTM) di TGV KLCC, di sini, Rabu.

Apabila ditanya adakah dia menangguhkan perancangan tersebut ekoran desas-desus yang mendakwa hubungan mereka bermasalah, Fizz menjawab: "Hubungan saya dan Almy berjalan dengan baik dan tiada sebarang masalah.

"Kalau ada pun, masalah kecil yang biasa sepertimana pasangan lain. Adatlah, orang bercinta ada ketikanya mesti ada salah-faham tapi tidaklah sampai ke tahap hubungan kami putus atau bergaduh."

Mengulas pula tentang lakonan terbarunya dalam NKTM, Fizz yang menangis ketika pratonton filem itu berkata dia gembira dan berpuas hati dengan lakonannya dalam filem tersebut.

"Saya menjadi sebak apabila menonton filem ini kerana membayangkan beban dan dugaan yang terpaksa digalas oleh watak saya iaitu Aidil.

“Dalam filem ini saya kematian isteri dan terpaksa menjaga dua anak yang masih kecil selain perlu menyelesaikan masalah dalam rumah tangga Adam (lakonan Remy Ishak).

"Untuk pertama kali juga saya dapat melihat diri saya yang berbeza sebagai pelakon. Seolah-olah bukan diri saya yang melakonkan watak itu," katanya yang mengakui berdepan cabaran untuk menghafal dialog dalam bahasa Arab untuk filem itu.

Filem arahan Kabir Bhatia dan skrip oleh Mira Mustaffa itu turut menampilkan Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Liza Othman, Muniff Isa, Sara Ali dan Syafie Naswip.

NKTM mula ditayangkan pada 19 Mei ini di 70 pawagam termasuk Brunei.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan