Nora Ariffin Terbit Drama Animasi ‘Ummi’

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nora Ariffin (gambar) kini mencuba cabang baru iaitu menerbit drama animasi muzikal berjudul Ummi yang dijangka disiarkan pada hujung tahun ini.

Drama tujuh episod yang menerapkan ciri-ciri islamik dan nilai murni itu diterbitkan syarikatnya, Hud Hud Media Sdn Bhd dan bakal disiarkan di TV AlHijrah .

Selepas lebih 10 tahun menceburi bidang nyanyian, penyanyi lagu popular Naluri (Hadirlah Kekasih) dan Menyemai Cinta Bersamamu ini ingin berkongsi pengalamannya kepada anak-anak muda di luar sana.

“Drama animasi ini merupakan projek sulung saya dengan syarikat produksi ini dan ia berkonsepkan tentang penceritaan dan muzikal seolah-olah seorang ibu sedang bercerita kepada anak-anaknya sambil berhibur.

“Dalam drama ini, saya juga mengajar beberapa nilai murni yang sepatutnya dikongsi dengan anak-anak kita. Saya rasa sungguh teruja dan tidak sabar untuk menyiapkan projek ini.

“Insya-Allah, jika tiada aral, kami akan melancarkan sebuah album kanak-kanak dari kumpulan Voices of Ummi yang dihasilkan bersama-sama dengan drama tersebut,” ujarnya yang menantikan hari pelancaran album tersebut setelah siap dibikin.

Dalam perkembangan lain, Nora juga sibuk memberikan ceramah motivasi menyentuh tentang hijrah dan wanita kepada penuntut universiti selain aktif dengan nyanyian.

“Saya masih lagi menyanyi dan sedang menyiapkan album terbaru yang baru selesai 80 peratus proses pembikinan. Selain itu, saya merancang untuk membuat konsert atau showcase,” ceritanya yang turut aktif berniaga tudung.

Nora turut muncul dengan lagu baru berjudul Pedoman yang kini selalu diputarkan di radio IKIM.FM dan boleh juga dimuat turun secara dalam talian.

Dia juga terpilih sebagai juri tetap program realiti Kilauan Emas untuk Astro Prima (saluran 105) di samping penyanyi Sohaimi Mior Hassan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan