'Kilauan Emas' Untuk Peserta Atas 45 Tahun

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengacara program realiti baru, Kilauan Emas, Raja Azura (paling kiri) di samping dua juri tetap penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan Nora pada sidang media program itu, Isnin. - Foto LOW BOON TAT
Pengacara program realiti baru, Kilauan Emas, Raja Azura (paling kiri) di samping dua juri tetap penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan Nora pada sidang media program itu, Isnin. - Foto LOW BOON TAT

KUALA LUMPUR: Program realiti terbaru, Kilauan Emas diperkenalkan bertujuan mencari bakat nyanyian baru berusia 45 tahun ke atas bermula Mei ini.

Sehubungan dengan itu, Astro akan mengadakan sesi uji bakat di empat buah negeri iaitu Skudai Parade, Johor Baru pada 7 dan 8 Mei, Berjaya Megamall, Kuantan (14 & 15 Mei), Plaza Alam Sentral, Shah Alam (21 & 22 Mei) dan Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (28 & 29 Mei).

Empat peserta yang berjaya ke peringkat akhir bakal merebut hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dalam program yang dihoskan oleh pengacara Raja Azura itu.

"Program ini akan melakukan uji bakat di empat zon selama empat minggu. Seramai dua orang peserta yang akan dipilih bagi setiap zon untuk ke peringkat separuh akhir.

"Seterusnya, empat orang yang akan layak bertanding ke peringkat akhir pada Julai nanti di bangunan Filem Negara, Petaling Jaya," kata Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.

Menurut Nizam, program tersebut di aspirasikan daripada program realiti nyanyian Classic Golden Melodies di saluran Astro Wah La Toi.

"Selepas menonton program realiti tersebut, saya mula terfikir idea untuk membuat program untuk golongan berusia lebih 45 tahun yang mengikuti bidang nyanyian.

"Saya yakin program Kilauan Emas ini mampu memberikan impak besar kepada penonton. Jika program ini mendapat sambutan hangat, saya akan meneruskan program ini pada tahun hadapan.

"Kita juga masih lagi menunggu mana-mana penaja yang mahu menaja hadiah untuk program ini," kata Nizam lagi.

Mereka yang berminat mestilah berwarganegara Malaysia yang berusia 45 tahun ke atas dan perlu membawa salinan kad pengenalan serta sekeping gambar berukuran 4R (gambar profil paras pinggang).

Para peserta harus menyanyikan salah satu lagu wajib iaitu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu dendangan Ramlah Ram, Di Persimpangan Dilema(Nora), Seri Dewi Malam (Sharifah Aini), Gerhana (Kembara), Ku Pendam Sebuah Duka (Khadijah Ibrahim).

Selain itu, lagu Sampaikan Salam Cintaku (Alleycats), Epilog Cinta (Sohaimi Mior Hassan), Akhirnya Kini Pasti (Anita Sarawak), Sejati(Wings) dan Widuri (Broery Marantika).

Mereka akan diadili oleh juri tetap iaitu penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan Nora.

Program ini akan disiarkan di Astro Prima (saluran 105) bermula 24 Jun ini secara rakaman.

iklan

iklan

Iklan